Hidayah Centre Latih Mualaf Jadi Pendakwah

TIDAK terhenti selepas proses pengislaman, mengajak mualaf atau saudara baharu untuk berubah meninggalkan kepercayaan lama yang bertentangan syariat kepada kehidupan Islam adalah proses yang lebih mencabar.

Mempunyai bilangan pendakwah yang sangat terhad atau terletak jauh di kawasan pedalaman yang sukar untuk dikunjungi, permasalahan sama turut dihadapi oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dakwah atau persendirian untuk mengekalkan kepercayaan Islam mualaf tersebut.

Bagaimanapun, tidak dapat tidak perkara itu merupakan fasa kedua yang perlu dilakukan oleh pendakwah selepas menarik seseorang memeluk Islam dengan memberikan tindakan susulan dan menyediakan ilmu dalam melaksanakan segala tuntutan sebagai Muslim.

Malangnya, tidak semua mampu melakukan tindakan tersebut berikutan pelbagai kekangan lain yang akhirnya mengakibatkan Islam hanya terletak pada nama.

Justeru, mengambil langkah dalam mengelakkan permasalahan sama berlaku, pertubuhan dakwah, Yayasan Hidayah Centre mengamalkan konsep touch and stay di lokasi dakwah yang dikunjungi dan juga saudara baharu yang telah diislamkan menerusi pertubuhan tersebut.

Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Hidayah Centre, Ir. Wan Ahmad Nizar Zakaria berkata, konsep itu dilaksanakan dengan mendedahkan kepada saudara baharu yang memeluk Islam, terutamanya menerusi Hidayah Centre dengan kursus dan latihan sebagai pendakwah.


Beliau berkata, menerusi kaedah itu saudara baharu bukan sahaja diajar mengenai agama Islam untuk amalan sendiri tetapi cara untuk berdakwah kepada masyarakat setempat di tempat tinggal masing-masing.

“Pendekatan dakwah yang dilakukan oleh Hidayah Centre bukan sahaja menerusi ahli kita yang terdapat di 25 cawangan di seluruh negara, tetapi juga melalui golongan mualaf itu sendiri. Mereka yang memeluk Islam akan diberi kefahaman sebaiknya mengenai Islam, supaya mereka dapat memberi pemahaman itu kepada keluarga mereka pula.

“Malah, mengikut statistik yang dilakukan, kita mendapati cara ini adalah lebih berkesan terutamanya di kawasan pedalaman. Ini kerana, mereka lebih memahami golongan mereka sendiri untuk berdakwah berbanding kita yang mendekati mereka.

“Secara tidak langsung, kita telah menempatkan wakil pendakwah kita untuk memantau penduduk Muslim setempat dan melakukan tindakan susulan kepada mereka agar lebih memahami Islam dengan baik,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Selain berfungsi bagi membantu mualaf dalam memperkukuhkan akidah, ilmu dan kefahaman Islam, Yayasan Hidayah Centre yang bernaung di bawah Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), turut memberi pelindungan kepada mualaf yang dizalimi.

Ditubuhkan pada 2005, Hidayah Centre lebih memfokuskan kepada rumah perlindungan dan memberi kebajikan mualaf pada awal penubuhannya sebelum memperluaskan fungsi untuk berdakwah kepada orang belum Islam.

Ahmad Nizar berkata, pihaknya turut menjalinkan hubungan bersama keluarga mualaf yang memeluk Islam dengan menziarahi ke rumah mereka sebagai salah satu cara dakwah secara tidak langsung.

“Ramai saudara baharu yang memeluk Islam beranggapan selepas memeluk Islam mereka perlu dipisahkan dengan keluarga mereka. Tidak lagi boleh tinggal serumah, makan menggunakan pinggan ahli keluarga yang lain dan bersama menyambut budaya yang diadakan.

“Bagi menjelaskan kekeliruan ini, kita menggalakkan para mualaf untuk pulang ke rumah masing-masing. Malah, kita juga sering menghubungi dan menziarahi keluarga saudara baharu untuk menerangkan kepada mereka salah anggap yang sebenar.

“Ia menunjukkan keterbukaan Islam, secara tidak langsung memberi ruang kepada  pendakwah untuk mengajak ahli keluarga mualaf itu kepada agama Islam dengan menerusi contoh teladan,” ujarnya. -Utusan