PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan pendirian parti
itu berhubung pelaksanaan hukum hudud di Kelantan selewat-lewatnya
Selasa (esok) ini, kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku
Mansor.
“Pengumuman itu akan dibuat oleh Perdana Menteri dan Pengerusi BN
Datuk Seri Najib Tun Razak selewat-lewatnya esok atau lusa. Seperti
diketahui, hudud mesti mengikut Perlembagaan negara.
“Saya tidak kata yang kami menentang hudud. Hukum tetap hukum.
Sebagai orang Islam, hukum Allah merupakan hukum. Pihak yang memainkan
(isu) ini ialah DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR),” katanya ketika
diminta mengulas pendirian BN terhadap isu hukum hudud.
Tengku Adnan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan
program Pasukan Sukarelawan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah
Laku (COMBI) dan Kelab Rukun Tetangga Suria (Cawangan Bunga Matahari) di
sini, semalam.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Khamis meluluskan Rang
Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau hudud
yang hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja apabila ia
dilaksanakan kelak di negeri itu.
Bagaimanapun rang undang-undang itu hanya boleh dilaksanakan selepas diluluskan oleh Dewan Rakyat.
Tengku Adnan, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, berkata isu
hudud sebenarnya merupakan provokasi DAP dan PKR, yang cuba mengelirukan
dan memecah-belahkan BN.
“Mereka ingat mereka boleh memecah-belahkan BN. Kepimpinan BN adalah
berbeza kerana kami percaya pada keputusan konsensus dan kerana itulah
kami mengadakan mesyuarat khas dengan semua pemimpin utama parti
komponen BN untuk mendapat pandangan mengenai hukum hudud.
“Walau apapun, kita kena ikut perlembagaan. Hudud PAS adalah hudud politik,” katanya.
Pasukan Sukarelawan COMBI ditubuhkan agar mereka boleh mengadakan
gotong-royong secara berkala terutamanya di kawasan kediaman bagi
menghapuskan pembiakan dan tempat pembiakan nyamuk aedes yang
menyebarkan virus denggi. - BERNAMA