Seperti dijangka kelulusan sebulat suara Rang Undang-undang (RUU) Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) Pindaan 2015 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Khamis lalu termasuk 12 wakil rakyat BN terus mengundang pelbagai reaksi.
Parti-parti bukan Islam khususnya DAP, Gerakan dan MCA dilihat antara yang paling lantang menzahirkan tentangan terhadap hudud.
Manakala PKR semacam berada di persimpangan apabila kelihatan serba salah antara komitmen terhadap agama dengan pertimbangan politik pakatan pembangkang yang tampak makin goyah.
Kadangkala terfikir juga, apa sebenarnya punca penolakan dan tentangan mereka khususnya dalam kalangan bukan beragama Islam terhadap RUU ini. Bukankah sudah jelas bahawa undang-undang ini hanya terpakai kepada umat Islam?
Sejak bila pula umat Islam di negara ini seolah-olah perlu menyembah dan meminta perkenan orang bukan Islam apabila hendak melaksanakan ibadah atau sesuatu yang menjadi tuntutan agama mereka?
Atau apakah wujud kecenderungan dalam kalangan penentang hudud ini untuk melakukan jenayah sehinggakan begitu fobia terhadap hudud?
Perlu difahami bahawa RUU Kanun Jenayah Syariah yang telah dibentangkan di DUN Kelantan bukan hanya melibatkan hukuman hudud tetapi juga hukuman takzir dan qisas.
Dengan kata lain hudud hanyalah sebahagian daripada kandungan RUU tersebut iaitu melibatkan kesalahan jenayah seperti zina, qazaf (menuduh zina), minum arak, mencuri, merompak dan murtad. Justeru menjenamakan RUU tersebut dengan undang-undang hudud adalah tidak tepat bahkan boleh mengelirukan.
Walau apa pun pendirian parti, sebagai orang Islam kita wajib beriktikad dari segi akidah bahawa hukum hudud, qisas dan takzir merupakan hukum-hukum Allah yang disyariatkan. Namun ini tidak bererti RUU Jenayah Syariah ini maksum atau tiada kesilapan sehingga tidak boleh langsung dikritik terutamanya dalam aspek pelaksanaannya.
Malah semenjak pertama kali dibentang dan diluluskan pada tahun 1993, banyak sekali kelemahan RUU hudud tersebut yang dikritik oleh para cendekiawan, ulama termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Walau bagaimanapun, kritikan yang dilontarkan tidaklah bermakna mereka itu menolak hukum hudud sebagai hukum Allah. Ini kerana terlalu banyak kelemahan dalam RUU hudud 1993 yang jika dilaksanakan tentu sekali akan menyerlahkan ketidakadilan dan merosakkan imej Islam.
Sedangkan hukum hudud jika difahami falsafah dan matlamatnya tidaklah bertujuan untuk menghukum semata-mata. Ia merupakan satu bentuk undang-undang pencegahan hingga mencetuskan kegerunan dalam diri setiap penjenayah yang ingin melakukan kesalahan-kesalahan khusus yang terkandung dalam hudud.
Malah jika diperhalusi dan dihayati, hampir mustahil untuk seseorang dihukum hudud lantaran prosedur dan kaedah penjatuhan hukum yang teramat ketat, sebagai contoh, jenayah zina.
Sebab itulah terlalu banyak kelemahan yang dibangkitkan terhadap RUU Kanun Jenayah Syariah 1993 hingga mengundang pelbagai fitnah dan persepsi hingga mencalarkan imej hudud yang sebenarnya hukuman yang indah lagi adil.
Mujurlah akhirnya kerajaan Pas akur jua dengan kelemahan ini hingga melakukan banyak pindaan dan penambahbaikan terhadap RUU sebagaimana yang dibentangkan Rabu lalu.
Tergesa-gesa
Cuma beberapa persoalan terus bermain dalam pemikiran penulis. Mengapakah kerajaan Pas Kelantan tampak begitu tergesa-gesa untuk membentangkan RUU Hudud dalam sidang dewan pada kali ini.
Kerajaan Pas Kelantan dikatakan telah melangkaui keputusan Jawatankuasa Teknikal Persekutuan mengenai Hudud yang ditubuhkan secara bersama antara Kerajaan Pusat dengan Kerajaan Negeri Kelantan bagi menilai pendekatan terbaik untuk melaksanakan hudud.
Penulis difahamkan Jawatankuasa Teknikal Persekutuan yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Syarie Negara, Tan Sri Sheikh Ghazali telah mengesyorkan "road map" yang dipersetujui bersama untuk menumpukan terlebih dahulu pelaksanaan undang-undang jenayah yang terletak di bawah kuasa negeri melibatkan empat jenis hukuman iaitu zina, qazaf, minum arak dan murtad.
Cadangan Jawatankuasa Teknikal Persekutuan juga bersandarkan realiti struktur perundangan negara yang belum memungkinkan untuk hudud dilaksanakan secara keseluruhannya.
Di samping itu juga secara tertibnya penulis pasti kerajaan PAS amat arif bahawa lebih molek jika dibawa ke Parlimen terlebih dahulu untuk dipinda beberapa perkara termasuk Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 dan Perkara 76A yang memperuntukkan kuasa Parlimen bagi memperluas kuasa perundangan agama di negeri.
Kuasa perundangan negeri khususnya kuasa Mahkamah Syariah ketika ini hanya terhad kepada hukuman jenayah syariah seperti zina, qazaf, minum arak dan murtad yang tidak boleh melebihi denda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau enam kali sebatan atau apa-apa gabungan hukuman tersebut.
Justeru jika hudud ingin dilaksanakan secara sempurna sudah tentulah pindaan perlu dibuat bagi meluaskan kuasa Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman kepada satu tahap yang ditetapkan oleh syarak seperti 80 atau 100 kali sebatan.
Begitu juga lebih manis dan tertib jika dibawa terlebih dahulu kepada Majlis Raja-Raja yang bertanggungjawab dan mempunyai kuasa penuh dalam hal ehwal agama Islam sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Namun setelah diluluskan di DUN Kelantan, apa yang lebih mustahak kini adalah untuk memastikan pelaksanaan hudud dilaksanakan dengan penuh bijaksana dan melalui proses secara berperingkat dan bertahap agar tidak timbul fitnah dan salah sangka.
Ini termasuklah mengambil kira pelbagai kekangan yang ada dalam kerangka perundangan negara dan memfokuskan apa yang lebih praktikal untuk dilaksanakan terlebih dahulu.
Selain itu perincian tentang hudud juga menuntut ijtihad-ijtihad baru yang mengambil kira aspek perubahan tempat dan zaman. Semua ini penting bagi memastikan pelaksanaan hudud jangan sampai mencetuskan fitnah terhadap Islam dan umatnya.
Sebagai contoh hukuman rejam sampai mati dan potong tangan yang selama ini dihodohkan pelaksanaannya hingga menjadi fitnah kepada Islam mungkin lebih baik untuk ditangguhkan.
Sebab itulah banyak lagi usaha pendidikan yang perlu digemblengkan bagi memperbaiki imej hudud yang dicemari dek sentimen dan bukannya berteraskan ilmu.
Mudah-mudahan hudud tidak lagi menjadi bahan komoditi politik yang berterusan diperdagangkan bagi membangkitkan sentimen dan meraih sokongan.
Sumber: DR . ASYRAF WAJDI DUSUKI/Utusan