Hudud: Temubual Bersama AJK Sekretariat Hudud Kelantan, Pusat


Sejak Rabu lalu, ramai yang memperkatakan tentang pelaksanaan hukum hudud di Kelantan selepas pindaan kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 di diluluskan.

Pelbagai pandangan sama ada positif dan negatif dilemparkan terhadap undang-undang Islam itu. Ada yang berpandangan ini hanya strategi politik Pas untuk menarik sokongan pengundi Islam selepas enakmen tersebut tertangguh sejak 22 tahun lalu.

Namun kali ini, pelaksanaan hukum hudud dilihat semakin hampir apabila Kerajaan Pusat turut memberikan laluan dengan penubuhan Jawatankuasa Teknikal Hudud Peringkat Pusat yang melibatkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pakar-pakar perundangan.

Pada masa yang sama, masih wujud  kekeliruan tentang pelaksanaan kanun itu, malah ada yang beranggapan undang-undang tersebut akan terus dilaksanakan sedangkan masih ada  beberapa peringkat lagi yang harus ditempuh sebelum direalisasikan untuk umat Islam di negeri Serambi Mekah ini.

Paling penting kanun tersebut telah menyatukan ahli politik Islam negeri biarpun berbeza ideologi politik apabila kesemua 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan termasuk 12 dari Barisan Nasional (BN) sebulat suara menyokong enakmen tersebut.

Justeru, wartawan dan jurugambar Mingguan Malaysia telah menemu bual salah seorang individu bertanggungjawab menggubal draf enakmen tersebut, NIK BAHRUM NIK ABDULLAH, yang juga seorang peguam.

Nik Bahrum ialah Ahli Jawatankuasa Sekretariat Hudud Negeri Kelantan dan Ahli Jawatankuasa Teknikal Hudud Peringkat Pusat.

Beliau mengulas tentang pelaksanaan hukum tersebut dan prosesnya, serta turut menegur bukan Islam supaya tidak takut kerana undang-undang ini hanya melibatkan orang Islam di Kelantan.

Adakah undang-undang ini sudah boleh dilaksanakan atau perlu dibentangkan di Parlimen untuk mendapat peruntukan khas untuk melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan?

Nik Bahrum: Kanun ini baru diluluskan. Sebelum dilaksanakan dan sebelum boleh dipanggil undang-undang, yang pertama perlu mendapatkan perkenan Sultan Kelantan, baru diwartakankan. Satu perkara yang perlu difahami untuk kanun jenayah syariah ada memperuntukkan tarikh yang berlainan boleh ditetapkan dalam kanun. 

Katakanlah ada satu undang-undang - minum arak dihukum 40 sebatan dan zina 100 sebatan. Sedangkan misalnya undang-undang yang ada hanya membenarkan hukum sebat sehingga 50 sebatan.

Ini bermakna apa yang boleh kita laksanakan hanya untuk kesalahan minum arak sahaja, yang zina tidak boleh lagi. Betul ada hukuman bunuh, sebat dan salib di dalam Kanun Jenayah Syariah (KJS) tetapi kita tidak akan laksanakan terus. 

Kita akan laksanakan berdasarkan undang-undang Malaysia. Maknanya kita tidak boleh laksanakannya lagi sehingga Akta 355 dipinda dan diperluas bidang kuasanya.

Saya boleh kata macam ini, panjang lagi ceritanya, cuma bekasnya sudah ada untuk kita mulakan kerja. Kita tengok Brunei, dia masih berjalan, tidak kata hari ini lulus, esok terus kerat tangan. 

Banyak lagi proses untuk laksanakannya, cuma saya boleh kata kita selesai gear satu dan akan masuk gear dua, yang penting bekas sudah ada dan kita mahu penuhkan bekas tersebut.

Akta 355 yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun, denda tidak lebih RM5,000 dan sebat tidak lebih enam rotan memang kena pinda. Siapa yang hendak bawa ke Parlimen? Kita tidak kisah sama ada Kerajaan Pusat yang sepatutnya menjadi "tauke" dalam perkara ini atau mana-mana pihak termasuk Kerajaan Pas Kelantan. 

Bila sudah lulus Akta 355, kita boleh laksanakan empat daripada enam hukum dulu, lepas itu kita tunggu lagi dua yang melibatkan hukum bunuh. Sehingga sekarang tidak ada satu pun yang diluluskan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 boleh dilaksanakan sehingga Akta 355 dipinda.

Perkara 76A (1) dalam Perlembagaan ialah perluasan kuasa Parlimen memperluaskan kuasa-kuasa perundangan bagi negeri-negeri. Ini bukan untuk ubah Perlembagaan, tapi hanya minta kebenaran melalui satu akta khusus untuk negeri itu. 

Sebagai contoh undang-undangnya berbunyi lebih kurang macam ini "dengan ini Parlimen membenarkan DUN Kelantan membuat satu undang-undang berkait dengan...".

Bila lulus, kita bawa balik ke DUN, kita dapat lesen untuk buat undang-undang. Untuk itu kita tidak memerlukan pindaan Perlembagaan yang memerlukan majoriti dua per tiga di Parlimen, cukup dengan majoriti mudah 112 ahli Parlimen menyokong rang undang-undang persendirian yang dibawa ini. 

Saya yakin kita mendapat sokongan tersebut berdasarkan jumlah Ahli Parlimen Islam dalam Parlimen sekarang.

Selepas pindaan Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015, rakyat memikirkan bagaimana kaedah pelaksanaan dan prasarana untuk melakukan hukuman kerana tidak ada satu pun penjelasan atau tanda-tanda yang menunjukkan kerajaan negeri bersedia?

Nik Bahrum: Untuk pengetahuan, Jawatankuasa Teknikal Hudud peringkat negeri dan Pusat telah menyiapkan empat kaedah pelaksanaan hukuman. Semua jenis dan bentuk hukuman dalam enakmen ini telah siap. Kaedah-kaedah pelaksanaan ada hukuman sebat. Bagaimana hendak melaksanakan hukuman potong tangan, rejam, sebat dan sebagainya, semua telah siap.

Bagi menyiapkan semua perkara ini, kita telah panggil ulama-ulama, pakar undang-undang, pegawai-pegawai dari Jabatan Penjara dan doktor-doktor dari hospital memberi pandangan sehingga kita berjaya menyiapkan kaedah pelaksanaan hukuman.

Masa perbincangan di peringkat jawatankuasa sama ada di peringkat negeri ataupun Pusat, sentiasa dihadiri oleh pegawai-pegawai daripada Jabatan Polis, penjara dan mereka memberi kerjasama kepada kita dalam membantu proses menyediakan pelaksanaan ini.

Polis dengan Jabatan Penjara membantu, terutama pihak yang hendak laksana hukuman itu. Jabatan Penjara mempunyai undang-undang atau aktanya sendiri iaitu apa-apa hukuman yang diperintahkan oleh mahkamah yang sah, dia mesti patuhi. 

Sekarang pun kesalahan syariah hukuman dilakukan di penjara dan sekiranya mahkamah memerintahkan hukuman dilakukan di mana-mana, Jabatan Penjara perlu bersedia melakukannya pada bila-bila masa. Sekarang hukuman enam sebatan Mahkamah Syariah dilaksanakan oleh Jabatan Penjara.

Malah saya difahamkan sudah wujud pertukaran kakitangan antara polis dan jabatan agama Islam bagi memastikan mereka benar-benar memahami undang-undang Islam ini sebelum dilaksanakan sepenuhnya nanti.

Saudara menyertai Sekretariat Hudud Negeri Kelantan dan juga mewakili kerajaan negeri dalam Jawatankuasa Teknikal Hudud Peringkat Pusat. Bagaimana saudara melihat kerjasama dalam jawatankuasa hudud peringkat Pusat?

Nik Bahrum: Kerjasama yang diberikan oleh Kerajaan Pusat dalam jawatankuasa amat baik, kita sampai peringkat empat kali mengadakan mesyuarat, dua di Kelantan, dua di Kuala Lumpur.

Kerjasama ini sampai peringkat meneliti enakmen tersebut. Antara pindaan yang dibuat dalam enakmen ini juga berdasarkan cadangan-cadangan jawatankuasa peringkat Pusat.

Wujud persepsi bahawa undang-undang ini tidak adil kerana hanya melibatkan jenayah-jenayah jalanan tetapi hukumannya berat. Timbul persoalan bagaimana jenayah kolar putih atau jenayah siber yang melibatkan kes curi. Nilainya mungkin lebih tinggi dari nisab hukum hudud namun mungkin terlepas disebabkan tidak ada saksi yang berkelayakan serta bukti lain seperti kamera litar tertutup atau laporan forensik pula tidak diterima di Mahkamah Syariah?

Nik Bahrum: Jenayah kolar putih atau jenayah terkini seperti mencuri dalam siber tidak terlepas daripada undang-undang. Terlebih dahulu pendakwa akan melihat kepada pentafsiran undang-undang, adakah kes tersebut mencukupi untuk didakwa di bawah sariqah (mencuri). 

Sekiranya cukup ingredient terhadap kesalahan sariqah maka pelakunya boleh didakwa di bawah undang-undang syariah.

Hakim akan teliti satu persatu. Sama sebagaimana kes sekarang. Kita cuma memerlukan dua saksi yang melihat. Laporan pakar boleh jadi saksi untuk keterangan (bayyinah), bukan rigid kepada dua saksi sahaja. Ini berdasarkan pentafsiran undang-undang, kalau tersabit, dia akan didakwa.

Masyarakat juga melihat beberapa perkara yang dianggap jenayah berat seperti merogol tidak dimasukkan di bawah enakmen sedangkan undang-undang yang diluluskan dalam DUN Kelantan pada 19 Mac lalu dikatakan turut merangkumi kesalahan dibawah takzir. Apakah ada peruntukan untuk jenayah seperti itu untuk dituduh di bawah hudud?

Nik Bahrum: Hukum hudud hanya ada enam kesalahan mandatori sahaja iaitu sariqah (mencuri), hirabah (merompak), zina (termasuk liwat), qazaf (tuduh zina), syurb (minum arak) dan irtidad atau riddah (murtad).

Kesalahan-kesalahan lain termasuk di bawah takzir. Untuk sabitkan mereka dalam kesalahan hudud, memerlukan saksi yang nampak. Dalam syariah ini memerlukan penyaksian apa yang dilihat. 

Kesalahan hudud ini dengan pembuktian lain, seperti DNA dan sebagainya tidak diterima. Takzir tidak apa, untuk kesalahan hudud sahaja memerlukan kepada penyaksian mata di mana saksi melihat perbuatan pihak yang didakwa.

Dalam kesalahan takzir boleh beri keterangan dan pelbagai bukti lain. Hudud ini melibatkan hukuman mandatori, mereka yang didapati benar-benar bersalah dengan pembuktian yang cukup akan disabitkan dengan hudud. 

Tidak timbul isu akan terlepas daripada hukuman atau pertuduhan di mahkamah. Macam di Brunei, ada satu jabatan yang ada dua pendakwa raya yang akan putuskan sama ada dituduh di bawah mahkamah syariah atau ke mahkamah sivil tetapi kita belum fikir lagi sehingga ke situ.

Sebagai contoh kes rogol, tiba-tiba didapati tidak cukup bukti, dia akan tuduh di bawah mencabul kehormatan. Sebelum Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) ini diluluskan ada satu lagi Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1985. Ini adalah takzir, dalam itu sudah ada kesalahan-kesalahan takzir. 

Cuma saya boleh beritahu takzir di Kelantan agak ketinggalan berbanding negeri lain sebab sudah lama tidak buat pindaan kesalahan lain.

Kita sebenarnya sudah siap enakmen takzir untuk dibawa ke Dewan Undangan Negeri, sampai 73 seksyen kita sediakan, termasuk semua benda itu. Kita akan buat satu-satu macam kanun keseksaan. 

Kesalahan khalwat, lelaki berpakaian menyerupai wanita dan tidak memakai topi keledar itu adalah takzir.

Masih ramai yang mempertikaikan daripada segi pelaksanaan hukum hudud ini. Mereka beranggapan perkara itu masih jauh lagi untuk dilaksanakan?

Nik Bahrum: Saya ingin sebut, Malaysia telah merdeka hampir 60 tahun, sepanjang tempoh itu kita menggunakan undang-undang asal daripada Inggeris, paling besar mengikut kanun keseksaan, kanun itu merangkumi hampir semua bentuk kesalahan.

Saya hendak tanya daripada segi statistik jenayah di negara ini, apakah jenayah yang berlaku di Malaysia makin berkurang atau bertambah. Secara jujurnya bertambah, adakah kita selama-lamanya ingin berada dalam situasi jenayah bertambah. 

Kenapa kita tidak cari alternatif lain, kita cuba undang-undang Islam ini, kita laksanakan. Kita tengok dalam tempoh 10 tahun akan datang bagaimana kesannya.

Kita akan masuk peringkat kedua dalam jawatankuasa teknikal bagi membincangkan mengenai penerangan kepada rakyat di negara ini. Hudud ini tidak semua orang faham.

Bagaimana pandangan saudara, sehingga sekarang masyarakat bukan Islam terutama parti politik menentang habis-habisan pelaksanaan hukum hudud.

Nik Bahrum: Kita dapat tengok parti Gerakan mencabar kita melalui perundangan. Mungkin mereka tidak faham. Saya mahu tegaskan sekali lagi, hudud tidak ada kena-mengena dengan bukan Islam. Kita hendak buat hudud mengikut ajaran agama kita dan mereka tidak perlu takut.

Dalam pindaan yang dilulus ini secara jelas hanya tiga golongan terlibat iaitu Islam, mukallaf dan mereka melakukan kesalahan dalam negeri Kelantan. Jadi, mereka bukan Islam tidak perlu takut.

Apa nasihat kepada orang ramai yang masih keliru dengan hudud?

Nik Bahrum: Apabila kita sebut hudud, satu benda perlu difahami ialah enakmen ini bukan semata-mata hukuman, falsafah hukumnya lebih kepada mencegah.

Untuk mencegah apabila orang melihat hukuman tersebut, mereka tidak ada rasa atau berani melakukan jenayah. Bila tengok hukuman rejam, potong tangan, mereka tidak akan rasa hendak melakukan jenayah.

Sebagai contoh, indeks jenayah di Arab Saudi yang melaksanakan hudud hanya 30 peratus sahaja sebab masyarakat rasa gerun hendak melakukan jenayah. Tidak dapat dinafikan jenayah berlaku tapi sekurang-kurangnya terkawal. 

Yang kedua berkat daripada Allah, hukuman apabila dilaksanakan merupakan kifarah dosa mereka lakukan di dunia terlepas hukuman di akhirat.

Sebagai Islam tidak perlu takut sebaliknya perlu menyokong. Saya percaya selepas penjelasan tentang hudud ini dibuat secara menyeluruh, mereka akan memahami alangkah indahnya undang-undang Islam ini. -Utusan