Identiti Juruterbang Pesawat Terhempas Dikenal Pasti, Alami Cedera Ringan

Orang ramai melihat sisa kerusi pesawat KT-1B Jupiter Aerobatik Team Indonesia yang terhempas di atas sebuah rumah di Kampung Gelam Mukim Kedawang, ketika latihan sempena Pameran Antarabangsa Aero Angkasa dan Maritim Langkawi (LIMA) 2015, hari ini. - Foto BERNAMA
LANGKAWI – Identiti keempat-keempat juruterbang pasukan Jupiter Aerobatic Team dari Indonesia yang terlibat dalam insiden pesawat terhempas pada Pameran Udara dan Maritim Langkawi (LIMA 2015) hari ini telah dikenal pasti.

Keempat-empat juruterbang Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) dikenali sebagai Arief Hartono, Sri Rahardjo, H.S Romas dan Hunaidi Syarif Romas.

Kesemua mereka hanya mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan itu dan sedang menerima rawatan di Hospital Langkawi.

Sejurus selepas insiden berlaku kira-kira 2 petang, mereka dikunjungi Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan rakan sejawatannya dari Indonesia, Ryamizard Ryacudu.

Ryamizard berada di Langkawi untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean (ADMM) serta LIMA 2015.

Kedua-dua pesawat pasukan Jupiter itu terhempas selepas dipercayai bergeser sesama sendiri ketika mengadakan latihan bersempena LIMA yang akan berlangsung dari 17 hingga 21 Mac ini. - BERNAMA