Imigresen Kedah Tahan Warga Asing Di Kulim, Sungai Petani


ALOR SETAR - Jabatan Imigresen Malaysia Kedah menahan 13 warga asing termasuk seorang kanak-kanak perempuan di empat lokasi berbeza di Kulim dan Sungai Petani awal pagi semalam.
    
Pengarahnya Mohamad Yusri Hashim berkata, operasi pada 1.30 pagi itu disertai 24 anggota Imigresen Kedah melakukan pemeriksaan terhadap 53 warga asing yang bekerja sebagai buruh binaan.
    
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati tujuh lelaki warga Bangladesh dan empat lelaki Indonesia berumur antara 18 40 tahun telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu memasuki negara ini tanpa pas yang sah dan 15(1)(c) akta sama iaitu tinggal di negara ini selepas tamat tempoh pas.
    
"Kami turut tahan seorang wanita warga Indonesia berumur 28 tahun bersama anak perempuannya berumur lima tahun kerana tidak memiliki dokumen sah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
    
Katanya, ada beberapa warga asing yang nyenyak tidur cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota Imigresen Negeri namun gagal kerana lokasi tersebut telahpun dikepung oleh pegawai bertugas.
    
Mohamad Yusri berkata, kesemua warga asing yang ditahan di lokap Imigresen Negeri di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Depot Imigresen Belantik di Sik. - Bernama