Inilah "Syurga" Roger Federer Di Zurich...

KEMBAR lelaki Leo dan Lenny dilahirkan Mei lalu.
Bintang tenis terkenal Roger Federer bakal berpindah ke rumah agam diperbuat daripada kaca bernilai £6.5 juta (RM35.4 juta) di sebuah bandar Switzerland yang dianggap 'syurga cukai', terletak di tepi Tasik Zurich.

Federer dan keluarganya dijangka berpindah ke rumah tiga tingkat yang dilengkapi pelbagai kemudahan canggih hujung bulan ini dan dikatakan akan turut disertai oleh ibu bapanya Robert dan Lynette yang akan menjadi penghuni baru dua buah pangsapuri mewah yang dibina sebagai tambahan kepada rumah utama.

Bangunan itu dikenali sebagai The Residence terletak di Wollerau di daerah Schwyz dan dilengkapi dengan tingkap besar, kolam renang dan balkoni yang besar dengan pemandangan indah menghadap Tasik Zurich.

REKABENTUK eksklusif pasti membuat anda terpegun.
Federer, 33, berpindah dari tempat kelahirannya di Basel ke 'syurga bebas cukai' Wollerau pada Mac 2008 setahun sebelum berkahwin dengan wanita kelahiran Slovakia, Mirka, 36.

Terletak kira-kira 20 minit dari Zurich dan satu jam pemanduan dari Basel, Wollerau satu daripada daerah yang menawarkan cukai terendah di Eropah dan struktur cukai yang liberal itu turut menarik ramai jutawan lain.

Pemandu Formula satu Kimi Raikkonen dan Felipe Massa serta bekas pengerusi UBS Marcel Ospel turut memilih menetap di kawasan eksklusif itu.

Rumah baru Federer berdinding kaca dibina di atas tanah seluas 1.5 ekar dengan tempat letak kereta bawah tanah dipercayai bernilai £6.5 juta (RM35.4 juta).

PEMANDANGAN indah Tasik Zurich dari balkoni.
Hartanah seluas 500 meter persegi mempunyai banyak ruang bilik untuk Federer, Mirka dan dua pasangan anak kembar mereka iaitu kembar perempuan Myla dan Charlene serta kembar lelaki Leo dan Lenny yang dilahirkan Mei lalu.

Federer cukup dikenali dengan sikapnya yang gemar membawa seluruh keluarganya dan membawa kedua-dua pasangan anak kembarnya ke Wimbledon tahun ini meskipun Leo dan Lenny baru berusia beberapa minggu ketika itu.

Pada sidang media selepas kelahiran pasangan kembar lelakinya Federer berkata, dia sentiasa membawa ke mana saja keluarganya biarpun menuntut sedikit kerja keras namun berbaloi.

"Isteri saya melakukan banyak kerja selagi ia termampu. Saya cuba untuk membantu selagi saya boleh melakukannya," katanya.

"Kami mempunyai datuk dan nenek dan juga seluruh ahli pasukan yang ada kalanya turut membantu. Kami juga memerlukan bantuan ketika berada dalam perjalanan dan Mirka berpeluang untuk tidur seketika atau menonton satu daripada perlawanan saya.

"Anda perlu bijak mengatur dengan baik dan ini kami tahu untuk mengendalikannya. Saya suka bergerak ke mana saja bersama keluarga dan ia akan mengambil masa yang lama tanpa menempuh sebarang perjalanan selepas karier tenis berakhir. Saya tidak sabar untuk menempuh beberapa tahun lagi."

Kontraktor bekerja keras untuk mendapatkan struktur yang mengagumkan bagi menyiapkan rumah itu tahun ini yang digambarkan sebagai 'seni bina kontemporari dengan dinding kaca yang luas dan berprestij' oleh pemaju Kamata Development.























 Sumber: myMetro