LANGKAWI – Kerajaan Kedah berkeyakinan Kementerian Pertahanan akan
menanggung sebarang bayaran ganti rugi terhadap kemusnahan sebuah rumah
dan beberapa kenderaan akibat insiden pesawat terhempas di Langkawi
Ahad.
Exco Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Manusia,
Pelancongan Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid berkata menjadi kelaziman
Kementerian Pertahanan membayar ganti rugi apabila terdapat insiden
ketika Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA).
“Bayaran ganti rugi (ketika LIMA) itu adalah biasa kerana sebelum ini
terdapat insiden ada haiwan ternakan seperti lembu mati terkejut akibat
bunyi kuat pesawat,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Mohd Rawi juga merupakan anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hangat di kawasan Parlimen Langkawi.
Dalam kejadian pada 2.04 petang semalam, dua pesawat milik pasukan
aerobatik Jupiter dari Indonesia terhempas selepas bergeser sesama
sendiri ketika menjalani latihan untuk LIMA ’15.
Serpihan daripada salah sebuah pesawat itu mengenai rumah penduduk di
Kedawang, mengakibatkan rumah, kereta dan motosikal pemiliknya
terbakar. – BERNAMA