PATTANI – Islam bukan pengancam terhadap kedamaian dan keselamatan,
kata Jen Surayud Chulanont, Ketua Majlis Privi kepada Raja Bhumibol
Adulyadej.
Oleh yang demikian, semua pihak perlu mengamalkan konsep
kesederhanaan (wasatiyyah) untuk membawa masyarakat ke arah kedamaian,
kata beliau ketika merasmikan Persidangan Pengajian Islam Antarabangsa
ke-3, Isnin.
Persidangan bertajuk ‘Nilai-Nilai Islam Dalam Dunia Yang Semakin
Berubah’ itu diadakan di Prince of Songkla University, Kampus Pattani
(PSU Pattani) selama tiga hari, anjuran Kolej Pengajian Islam, PSU
Pattani dan dihadiri 500 peserta dari 25 negara.
“Kita boleh bina kefahaman tentang konsep wasatiyyah pada era
perubahan termasuk hak asasi manusia kumpulan minoriti dalam
masyarakat,” kata beliau.
Ini semua perlukan kerjasama antara institusi pendidikan,
intelektual, ahli akademik serta badan bukan kerajaan bagi menyelesaikan
masalah yang dialami dalam masyarakat kini, ujar Surayud.
Beliau berharap persidangan kali ini akan membentangkan perbahasan
dan mengambil pengalaman tentang penerapan nilai Islam yang diamalkan
masyarakat Islam dan bukan Islam yang berbeza di seluruh dunia untuk
mewujudkan kedamaian dan perpaduan yang berkekalan dalam masyarakat
berbilang kaum.
Persidangan kali ini adalah susulan daripada dua persidangan sebelum
ini iaitu pada 2010 yang bertajuk ‘Peranan Pengajian Islam dalam
Pascaglobalisasi’ dan kedua pada 2013, ‘Pengajian Islam Dalam Dunia Yang
Semakin Berubah: Cabaran dan Peluang’. – BERNAMA