JOHOR BAHRU – Eksklusif, penuh budaya
dan gilang gemilang adalah antara elemen istiadat kemahkotaan Sultan
Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang bakal diadakan pada
23 Mac.
Bakal menampilkan tiga jenis kebudayaan iaitu
budaya Melayu, Barat dan Islam, acara itu amat dinantikan segenap
lapisan rakyat Johor yang mahu melihat tradisi itu, yang kali terakhir
dipersembahkan 55 tahun lepas.
Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk
Abdul Rahim Ramli berkata istiadat kemahkotaan kali ini bertempat di
Bilik Singgahsana, Istana Besar, yang bakal dipertontonkan secara
langsung kepada rakyat melalui siaran RTM.
“Kali terakhir istiadat kemahkotaan ini ialah bagi
Almarhum Sultan Ismail pada 10 Februari 1960. Saya percaya rakyat Johor
khasnya dan rakyat Malaysia menunggu untuk menyaksikan satu istiadat
yang penuh gilang gemilang dengan budaya warisan Johor bagi kemahkotaan
Sultan Ibrahim,” kata beliau.
Datuk Abdul Rahim berkata kalau mengikut peraturan
undang-undang negeri Johor, Sultan Johor dipilih, dilantik dan
dimasyhurkan sebagai raja menggantikan raja yang mangkat.
Kemudiannya, bakal raja akan mengangkat sumpah dan
dimasyhurkan oleh Menteri Besar sebelum keranda diraja diusung untuk
dimakamkan, yang mana ia mengesahkan perlantikan raja sebagai Raja
Johor.
“Di Johor tiada pertabalan sebagaimana di negeri
lain sebab kita anggapkan dengan pemilihan, perlantikan, mengangkat
sumpah dan pemasyhuran itu memadai untuk mengesahkan Sultan Ibrahim
sebagai Raja Johor,” kata beliau.
Bagaimanapun, mengikut tradisi warisan Johor,
istiadat kemahkotaan boleh diadakan pada bila-bila masa yang Sultan
kehendakinya selepas baginda naik takhta.
Istiadat kemahkotaan, menurut Datuk Abdul Rahim,
adalah satu tradisi diraja Johor, yang penting kerana ia memperkasakan
kedaulatan Raja.
SEMBILAN ISTIADAT BERLAINAN
Bagi menyerikan istiadat kemahkotaan itu, terdapat
sembilan istiadat yang berlainan tetapi berkaitan, bermula 16 Mac lalu,
yang menampilkan adunan tiga kebudayaan iaitu budaya Melayu, Islam dan
Barat.
Misalnya, istiadat Siram Tabal yang diadakan pada
21 Mac, mempunyai ciri-ciri adat istiadat Melayu, menggunakan air dari
hulu sungai dari 10 buah daerah dalam negeri Johor.
“Adat istiadat yang kita gunakan adalah mengikut
warisan iaitu berdoa, bertepung tawar, bersiram dan lain-lain lagi,”
kata beliau.
Sehari sebelum itu, satu majlis tahlil dan doa
kesyukuran diadakan di Masjid Sultan Abu Bakar dan semua masjid-masjid
jamek di daerah, bagi memberi peluang rakyat mendoakan kesejahteraan
Sultan Johor serta mendoakan agar istiadat kemahkotaan baginda berjalan
dengan lancar.
Selain itu, pemakaian mahkota kepada Sultan Ibrahim serta istiadat Menghadap Takzim adalah mengikut budaya barat, kata beliau.
MAHKOTA SEBAGAI LAMBANG KEMODENAN DIRAJA JOHOR
Mengenai mahkota, Datuk Abdul Rahim mengimbas
kembali tindakan berani Almarhum Sultan Abu Bakar yang membawa kemodenan
kepada Johor melalui mahkota itu.
“Kalau kita perhatikan di negeri lain, raja-raja
Melayu memakai tengkolok atau tanjak, tetapi di Johor tiada. Oleh sebab
langkah Almarhum Sultan Abu Bakar untuk memodenkan kerajaan negeri
Johor, maka kita gunakan mahkota,” kata beliau.
Selain mahkota, Almarhum membawa elemen kemodenan
yang lain seperti darjah-darjah kebesaran, inovasi teknikal dan inovasi
pentadbiran.
Mahkota itu yang diilhamkan Almarhum, pada tahun
1886, direka bentuk oleh satu-satunya syarikat yang membuat
barang-barang kemas diraja British iaitu JW Benson, yang berpangkalan di
London.
“Berat mahkota ialah 1.6 kilogram dan reka bentuknya adalah oriental iaitu mengikut kebudayaan Timur dan dipersinarkan dengan intan berlian dan batu-batu permata,” kata Datuk Abdul Rahim.
Selain itu, terdapat empat bulan bintang bercantum
yang melambangkan agama Islam di sebelah kemuncak takhta dan ada
tulisan perkataan Allah dan Muhammad, yang membawa makna Sultan turut
menjunjung agama Islam sebagai agama rasmi bagi negeri Johor.
KEUNIKAN TRADISI KEMAHKOTAAN PENUH WARISAN
Selain mahkota, keunikan istiadat kemahkotaan ini
adalah penggunaan kain pelayang diraja, yang bakal digunakan oleh Sultan
Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah, pada upacara itu.
Kain pelayang diraja itu dibuat menggunakan kain
sutera khas, direka bentuk dari bahu sampai meleret ke belakang dan akan
dijinjit oleh putera puteri kecil ketika istiadat.
“Ia direka khas daripada kain sutera biru yang
dibuat di London, dihiasi dengan lakaran lada hitam dan gambir
bersulamkan benang emas dan mempunyai tulisan Jawi yang membawa maksud
Sultan Johor,” kata beliau.
Beliau berkata Sultan Ibrahim gemar menghidupkan
kembali tradisi-tradisi lama yang kian dilupakan bagi tatapan rakyat
jelata terutama generasi muda.
“Titah Tuanku ialah agar istiadat
kemahkotaan baginda dibuat secara istimewa agar menjadi kenangan untuk
rakyat kita turun temurun.
“Disebabkan keistimewaan inilah, hanya
raja-raja Melayu dan gabenor, Sultan Brunei dan orang kenamaan tertentu
sahaja dijemput bagi memastikan status istiadat kemahkotaan ini
dipandang tinggi,” kata Datuk Abdul Rahim. – Bernama