KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)
akan menyiasat laporan sebuah portal berita yang cuba mengaitkan Majlis
Raja-Raja dengan isu hudud.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
berkata dakwaan itu tidak benar dan menggesa rakyat supaya tidak mudah
mempercayai sebarang maklumat yang tersebar khususnya di media sosial.
“Perkara itu tidak benar…ada orang cuba palitkan Majlis Raja-Raja dalam isu hudud.
“Setiap perkara yang tersebar mesti mendapat pengesahan. Jangan cepat
percaya apa yang tersebar terutamanya dalam media sosial,” katanya
kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan
Cemerlang 2014 kementerian itu di sini, Khamis.
Beliau diminta mengulas sama ada SKMM akan melakukan siasatan ke atas
sebuah portal berita yang mengeluarkan satu laporan pada Rabu yang
mengaitkan Majlis Raja-Raja dengan isu berkenaan.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan hari ini
berkata laporan polis telah dibuat di Balai Polis Jalan Travers pagi
tadi bagi menafikan ia mengeluarkan kenyataan berkenaan. – BERNAMA