Isu Kalimah Allah: Mahkamah Tolak Rayuan Mencelah MAIWP

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini semalam menolak permohonan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk mencelah dalam rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan pemulangan lapan cakera padat (CD) mengenai ajaran Kristian dengan kalimah ALLAH kepada seorang kerani dari Sarawak.
  
Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan tiga anggota panel hakim bagaimanapun membenarkan majlis itu menjadi peguam pemerhati dalam rayuan itu dan berkata ia boleh berhujah jika dipelawa oleh mahkamah.
  
Dalam keputusannya, hakim itu berkata majlis itu telah menggunakan kaedah-kaedah yang salah dalam Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 untuk mencelah dalam rayuan.
  
Beliau berkata, majlis itu telah merujuk Perintah 53 Kaedah-kaedah Mahkamah bagi semakan kehakiman dan tidak bergantung kepada Perintah 15 Kaedah-kaedah Mahkamah yang digunakan dalam kes-kes sivil.
  
Tengku Maimun berkata pendapat peguam MAIWP Haniff Khatri Abdulla tidak mempunyai merit bahawa deklarasi relif yang dibuat Jill Ireland Lawrence Bill tidak dimaksudkan dengan semakan kehakiman.

Haniff Khatri berhujah bahawa deklarasi relif yang dibuat Bill, termasuk deklarasi berhubung haknya menggunakan kalimah ALLAH berada di bawah kategori tindakan sivil dan bukan semakan kehakiman.
  
Bagaimanapun, peguam Bill, Lim Heng Seng berkata seseorang boleh menuntut deklarasi relif dengan cara semakan kehakiman.
  
Tengku Maimun yang bersidang dengan Hakim Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim kemudian membenarkan permohonan Haniff Khatri untuk menangguhkan tarikh perbicaraan rayuan dan rayuan balas kepada 23 April.
  
Haniff Khatri berkata berdasarkan keputusan mahkamah membenarkan MAIWP menjadi peguam pemerhati, beliau perlu meneliti rekod dan menyediakan hujahnya bagi membantu mahkamah.
  
Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Julai tahun lepas yang memerintahkan CD itu dipulangkan kepada Bill.

Bill juga membuat rayuan balas terhadap keputusan Mahkamah Tinggi kerana tidak membenarkan permohonannya mendapatkan deklarasi relif.
  
Pada 11 Mei, 2008, CD yang mempunyai tajuk seperti 'Cara Hidup Dalam Kerajaan ALLAH', "Hidup Benar Dalam Kerajaan ALLAH" and "Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan ALLAH, dirampas semasa Bill tiba di Terminal Penerbangan Tambah Rendah (LCCT) di Sepang.
  
Beliau kemudiannya memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 20 Ogos, 2008 menuntut CD itu dipulangkan selain mendapatkan deklarasi relif.
  
Sebelum itu, Haniff Khatri juga berhujah bahawa MAIWP memohon untuk mencelah dalam rayuan itu mengikut Perintah 15 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.
  
Beliau berkata, majlis itu mahu menjadi pencelah dalam rayuan itu kerana ia perlu menasihatkan Yang di-Pertuan Agong, yang juga Ketua Agama Islam bagi Wilayah Persekutuan.
  
Bagaimanapun, Lim membantah memandangkan undang-undang yang ada mencukupi bagi mengawal penyebaran agama kepada umat Islam.
  
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan. - Bernama