MUNGKIN dia tidak sepopular artis zaman kini, namun Maimunah Ahmad atau lebih dikenali dengan nama wataknya dalam filem Sembilu, Mak Jah tetap diingati peminat.
Berlakon dalam puluhan drama tempatan dan beberapa filem, kelibat Mak
Jah cukup meninggalkan kesan tanpa mengira peranan yang dipegangnya.
Namun, satu berita mengejutkan dilapor akhbar tempatan hari ini,
bahawa wanita berusia 68 tahun itu dikhabarkan menghidapi penyakit barah
rahim.
“Mula-mula
saya demam dan sakit-sakit sendi. Sebelum ini, saya ada kencing manis
dan darah tinggi. Apabila menjalankan pemeriksaan, doktor mengesahkan
saya mengidap barah rahim tahap pertama.
“Ketika dapat tahu mengenai penyakit itu, saya mula tidak tentu arah,
terkejut dan buntu. Namun, doktor memainkan peranan dengan memberi
khidmat nasihat agar saya tidak tertekan.
“Mula dari saat itu, saya bergantung dengan ubat-ubatan sehingga
kini. Alhamdulillah, dua tapak barah yang dikesan doktor sudah hilang
dan tinggal satu lagi yang masih ada,” jelasnya yang dipetik dalam satu kenyataan hari ini.
Dikhabarkan doktor tentang penyakitnya pada Jun tahun lalu, ia
menjadi faktor utama Mak Jah memperlahankan aktiviti seninya bagi
memberi tumpuan kepada kesihatan.
“Saya terpaksa tolak tawaran kerana memikirkan soal kesihatan.
Tambahan pula, saya perlu ulang alik ke hospital dua kali seminggu untuk
rawatan susulan.
“Jadi, saya perlu memilih antara duit ataupun sihat dan saya pilih
untuk sihat. Namun, saya perlukan duit untuk beli ubat. Selain doktor,
saya turut mendapatkan nasihat daripada ustaz di masjid. Mereka
memberikan kata-kata semangat untuk saya bangkit.
“Dulu, saya sering berperang dengan perasaan, masa saya tidak lama
lagi. Apa yang perlu saya buat? Akhirnya saya dapat kekuatan itu,”
katanya yang kini, sudah pun ada kekuatan untuk bangkit dan kembali
berlakon bagi menyara kehidupan.
Bagi yang merindui kelibat Mak Jah, jangan lupa saksikan lakonannya selaku antara tonggak utama filem Selfie Suara Kubur yang bakal menemui penonton 23 April depan.