Mungkin kisah yang dikongsikan di laman-laman sosial sebelum ini akan membuatkan
anda kecut perut pada permulaannya, tapi selepas mengetahui cerita
sebenar, mungkin ada yang akan tersengih-sengih sendirian.
Dalam erti kata mudah, inilah contoh individu yang suka membuat andaian tanpa
melakukan selidikan.
Hanya kerana satu imej kabur muncul dalam foto yang
baru diambilnya, mudah benar si penyebar mengatakan ia adalah
penampakkan entiti paranormal.
Dimuat naik dalam akaun Facebook Sukan Star TV, seorang individu
menceritakan pengalamannya yang menyeramkan ketika melakukan riadah di
sebuah kawasan di Simpang Pulai, Perak.
Selang beberapa minit selepas mengambil foto di sekitar kawasan
tersebut, dia kembali melihat imej-imej itu. Namun, ada sesuatu yang
menaikkan bulu romanya. Nak tahu apa?
Menurut si tukang cerita, satu figura asing dikesan dalam fotonya
kerana ketika gambar itu diambil, ‘makhluk’ tersebut langsung tak
kelihatan.
Selepas mengesan imej ‘seram’ itu, dia melihat keadaan sekelilingnya
untuk mencari sekiranya dia tersalah lihat, tapi katanya, memang sah
individu yang muncul dalam foto tersebut tidak ada. Nah, kita kasi zoom sikit…
Galak nak berkongsi bersama warga maya tentang pengalaman seramnya,
si polan itu kemudiannya memuat naik imej tersebut di Internet. Apa
lagi, ia menerima pelbagai reaksi dari netizen yang turut kecut dengan kisahnya.
Namun tak lama selepas itu, kisah tersebut bertukar menjadi kelakar
apabila ada pihak yang berkongsi satu gambar tentang ‘makhluk’ yang
muncul secara tak sengaja dalam foto yang diambil si pengadu.
Rupa-rupanya, ia bukanlah penampakkan hantu seperti yang diperkatakan
oleh individu tersebut. Imej itu hanyalah seorang lelaki yang memakai
seluar celoreng jingga.
Adoi, tak pasal-pasal abang tu dapat title jembalang hanya kerana imejnya tidak jelas dan kelihatan aneh…
Kes seperti ini sebenarnya sering terjadi. Sebelum ini, terdapat
beberapa laporan yang kononnya satu imej hantu dikesan dalam foto yang
diambil, namun akhirnya ia hanyalah kesan pantulan cahaya, trick kamera mahupun kesilapan-kesilapan lain.