KUALA LUMPUR – Ancaman serangan militan tidak mustahil boleh berlaku dalam negara ini sekiranya tidak diawasi secara bersepadu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas
Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ancaman militan di
luar negara telah memasuki fasa kedua susulan serangan ‘ala militan’
seperti yang berlaku di Australia dan Perancis, yang dipercayai
dilakukan pengganas.
Di beberapa negara luar sudah ada serangan tetapi di Malaysia masih
di fasa satu iaitu mereka merekrut ahli dan walaupun belum ada serangan
berlaku semua pihak perlu berwaspada, katanya.
“Dalam perkara ini, kita perlukan kerjasama semua pihak untuk pantau
termasuk menyalurkan sebarang maklumat kepada polis jika mengesan
sebarang aktiviti mencurigakan. Kita akan ambil tindakan,” katanya
kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian selepas memberi ceramah bertajuk ‘IS:
Menerusi Perspektif Keselamatan’ selepas Majlis Ijtimak dan Penyampaian
Saguhati kepada Anggota Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Jumaat
Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan di sini.
Ayob berkata, adalah penting bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM)
bergerak seiring dengan pihak Jabatan Agama dan Jabatan Imigresen
Malaysia dalam memastikan usaha mengekang penularan ancaman militan ini
dapat dilaksanakan secara komprehensif.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai ancaman serangan
militan dalam negara susulan penahanan dua warga Iraq Khamis lepas,
disyaki terlibat membuat ugutan bunuh terhadap Duta Besar Arab Saudi dan
Qatar di ibu negara.
Mengenai motif sebenar yang cuba dilakukan dua warga Iraq yang
dipercayai anggota kumpulan militan IS itu, Ayob berkata perkara itu
masih dalam siasatan.
Dalam perkembangan sama, Ayob turut mendedahkan gadis dan wanita yang
merancang untuk ke Syria atas dasar jihad sebenarnya sedia maklum
bahawa mereka akan “melayan” empat orang “mujahidin” serentak apabila
berada di sana.
“Ini hasil soal siasat gadis dan wanita Malaysia… Mereka sedia maklum
apa yang akan mereka lakukan apabila berada di sana kerana dari awal
mereka telah ‘disuntik’ dengan ideologi ini yang kononnya ia tidak salah.
Mereka juga terlalu yakin apabila pergi ke sana ia sebahagian daripada jihad,” katanya.
Sehingga kini, seramai 75 orang yang disyaki terlibat dengan IS termasuk dua warga Iran, telah ditahan di negara ini. – BERNAMA