Jika Amerika Syarikat "Kacau" Malaysia, Tuding Jari Pada "Tali Barut"

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengingatkan rakyat Malaysia supaya menyalahkan "tali barut" Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya Amerika Syarikat campur tangan dalam hal ehwal dalaman Malaysia.

Kata Ahmad Shabery, Amerika Syarikat sebelum ini terkenal menceroboh kedaulatan sesebuah negara dan lebih negara yang menjadi mangsa kuasa besar itu malangnya menjadi lebih teruk dari sebelum campur tangan negara "Uncle Sam" itu. 

"Mereka (Amerika) tidak kisah, di semua negara yang mereka campuri bukan semakin aman dan demokrasi (tidak) berjalan, sebaliknya huru-hara dan kemusnahan yang menunggu.

"Sekiranya ia berlaku, Malaysia tidak akan sama lagi. Sekiranya ia berlaku, jangan salahkan kuasa besar ini sahaja, tetapi tali barut yang menggapai tangan mengundang gergasi datang ke halaman kita," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ahmad Shabery mengulas mengenai petisyen di sebuah laman web White House, "We The People" yang berjaya mengumpul tandatangan melebihi 100,000 meskipun terpalit kontroversi "hilang tiba-tiba" dengan alasan masalah teknikal yang tidak mengikut syarat ditetapkan.

Petisyen berkenaan difahamkan telah diusahakan oleh salah seorang rakan baik Anwar, John Mallot, yang juga merupakan bekas Duta Besar AS di Malaysia ketika Anwar memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri sebelum ini.

Selain itu, menteri berkenaan juga menempelak laman web kerajaan AS itu berhubung kontroversi ketelusan petisyen berkenaan.

"Kelmarin sistem teknologi maklumat (IT) Rumah Putih mengesan penipuan dalam petisyen meminta campur tangan kuasa besar itu dalam urusan Malaysia. Petisyen itu ditolak dan kita lega kerana kedaulatan negara tidak diganggu.

"Hari ini, kedutaan Amerika Syarikat menyatakan kesilapan sistem IT mereka. Petisyen diterima kembali. Ertinya, campur tangan dimungkinkan.

"Soalan, bagaimanakah sistem IT Rumah Putih yang sepatutnya tercanggih boleh silap? Semua pakar IT tahu (masalah) ini tidak mungkin berlaku. Ini jenaka besar yang memalukan kuasa besar yang mempunyai pakar IT terhebat," katanya.

"Mereka tidak kisah kredibiliti mereka tercemar asalkan matlamat tercapai (untuk campur tangan)," kata Ahmad Shabery. -Kedahnews.com