Kecewa Pada Abdul Hadi, 17 Orang AJK PAS Kawasan Batu Letak Jawatan Serta Merta

Krisis dalaman PAS khususnya tekanan terhadap Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semakin meruncing apabila 17 ahli jawatankuasa tertinggi PAS Kawasan Batu termasuk Yang Dipertuanya, Ishak Surin dilaporkan telah meletak jawatan serta-merta.

Walau bagaimanapun, Ishak yang difahamkan masih kekal sebagai ahli PAS mendakwa bahawa tindakan itu diambil kerana mereka kecewa dengan sikap Abdul Hadi yang dikatakan gagal menguruskan konflik dalaman parti itu.

"Setelah meneliti beberapa perkembangan muktahir, harapan besar kami agar PAS kembali stabil ternyata meleset, sebaliknya menjadi lebih meruncing dan parah ekoran kempen-kempen menghadapi pemilihan kawasan untuk Muktamar Tahunan PAS kali ke-61 Jun ini. 

"Pada masa sama tiada usaha jelas daripada presiden untuk meredakan atau menghentikan krisis ini.

"Maka kami mengambil tindakan 'bermufarakah' (berundur diri) dari kepimpinan PAS sedia ada, dan juga 'bermufarakah' daripada memimpin PAS kawasan Batu, sehinggalah kepimpinan PAS positif kepada realiti sebenar, stabil dan ikatan ukhwah kembali segar sesama ahli dan rakan-rakan Pakatan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Turut mengikut jejak langkah Ishak itu ialah Timbalan YDP PAS Batu, Datuk Shuhaimi Ab Rahaman; Naib YDP, Datuk Tarmizi Mohd Jam; Setiausaha, Datuk Ismail Yahaya; Ketua Penerangan, Marzuki Zakaria serta Pengarah Pilihan Rayanya, Jamhor Nawawi.

Selain itu, Ishak berkata, kumpulan itu berharap tiada sebarang pencalonan terhadap mereka oleh mana-mana cawangan atau dewan-dewan pada mesyuarat agung tahunan PAS Batu kali ke-30 yang akan diadakan pada 19 April depan.

Mengulas lanjut mengenai langkah drastik kumpulan itu, mereka berharap Abdul Hadi tidak terus mengamalkan sikap ‘flip flop’ terutamanya membabitkan hubungan parti itu dalam pakatan pembangkang.

"Ternyata dalam isu MB Selangor dan beberapa isu lain, PAS dilihat tidak bersikap telus serta pendirian sebenar PAS dalam isu 'kerajaan perpaduan’," katanya mengkritik Abdul Hadi yang juga merupakan Naib Presiden Persatuan Ulama Dunia itu. -Kedahnews.com