Kedah Komited Laksana Akujanji Transformasi Strategik Demi Rakyat - Tajudin

Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Mohd Tajudin Abdullah
Meskipun telah mencapai lebih separuh akujanji pilihanraya umum yang lalu, Kerajaan Negeri Kedah tetap komited untuk meneruskan agenda transformasi di negeri Jelapang Padi itu demi menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat sebelum ini.

Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata, beliau bersama Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir akan terus bekerja keras untuk rakyat Kedah dalam usaha menunaikan akujanji ‎tersebut.

"Walaupun kita telah tunaikan lebih separuh akujanji pilihanraya ke-13 yang lalu, tapi kita mesti terus bekerja dan merangka pelan yang lebih baik untuk rakyat Kedah untuk masa hadapan.

"Jadi, kita dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM), mengambil langkah membincang kerangka strategik 3P bagi merangsang pembangunan dari tiga aspek utama di Kedah iaitu Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan," tegas Tajudin ketika ditemui UtaraNews.com di sini, hari ini.

Beliau yang hadir merasmikan Program Pembangunan Kerangka Strategik 3P Kerajaan Negeri Kedah turut menyeru supaya seluruh agensi yang hadir untuk bersama Kerajaan Negeri menjayakan pelan-pelan yang bakal memberi manfaat kepada rakyat di negeri itu.

Program berkenaan disampaikan oleh Pengarah Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA) USM‎, Dr Musa Ali, seorang anak Kedah yang rasa terpanggil untuk berbakti secara percuma kepada negeri kelahirannya itu.

Menerusi kerangka-kerangka strategik yang diselaras bersama pelbagai agensi Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat secara bersepadu, sebuah program dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia dijangka bakal memacu transformasi dengan kesan lebih positif di negeri itu, khususnya membabitkan penerangan, pembangunan luar bandar dan pembasmian kemisikinan.

"Saya percaya, dengan kerjasama erat antara kerajaan negeri, kerajaan pusat dan agensi-agensi kerajaan yang ada, rakyat akan menerima hasil yang sangat manis untuk dituai pada masa akan datang kelak," katannya lagi.

Tajudin turut menzahirkan rasa optimis dan keyakinan beliau terhadap prestasi semasa Kerajaan Negeri pimpinan Menteri Besar yang mengambil inisiatif pro-aktif menubuhkan makmal transformasi di awal pentadbirannya untuk ‎terus memacu negeri itu ke arah yang lebih aman makmur dan secara holistik di Kedah. - Utaranews.com