BUKIT MERTAJAM – Dua lelaki bersenjatakan tukul besi melarikan satu
dulang barang kemas bernilai RM100,000 dalam kejadian rompakan yang
berlaku tidak sampai seminit di sebuah kedai emas di Jalan Pasar, di
sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Rusli Mohd Noor
berkata dalam kejadian 12.35 tengah hari itu, dua lelaki yang menunggang
sebuah motosikal itu memberhentikan kenderaan mereka di hadapan kedai
emas tersebut.
“Dua lelaki memakai kemeja putih dan bertopi keledar penuh itu masuk
ke dalam kedai berkenaan dan seorang daripada mereka bertindak
memecahkan cermin pameran emas dengan menggunakan tukul besi.
“Rakannya bertindak mengaut semua barang kemas dalam dulang berkenaan
sebelum melarikan diri. Kejadian itu berlaku tidak sampai seminit,”
katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata ketika kejadian terdapat dua pelanggan dan empat
pekerja dalam kedai berkenaan dan mereka tidak mengalami sebarang
kecederaan.
“Kejadian itu berlaku dengan pantas dan mereka yang berada dalam
kedai berkenaan tidak sempat berbuat apa-apa. Terdapat CCTV dalam premis
berkenaan dan polis sedang meneliti rakamannya untuk siasatan lanjut,”
katanya.
Rusli berkata semakan ke atas nombor pendaftaran motosikal yang digunakan dua lelaki berkenaan mendapati ia nombor palsu.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung
kejadian itu agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi
membantu siasatan. – BERNAMA