PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
(KPWKM) akan melaksanakan aturan kerja anjal bermula 15 Mac ini bagi
memudahkan kakitangan dan pegawai khususnya wanita untuk mengimbangkan
tugasan pejabat dan tanggungjawab di rumah.
Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata inisiatif itu
terbahagi kepada tiga kaedah iaitu bekerja dari rumah, masa bekerja
anjal dan waktu bekerja mingguan yang diubahsuai.
“Pelaksanaan aturan kerja anjal ini terbuka kepada semua pegawai dan
kakitangan lelaki dan wanita kecuali kaedah bekerja dari rumah yang
hanya terbuka kepada kumpulan profesional dan pengurusan.
“Saya berharap agar pegawai dan kakitangan terutama wanita agar dapat
memanfaatkan kemudahan ini di samping mengekalkan prestasi dan
kecemerlangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaikan Anugerah
Perkhidmatan Cemerlang 2014 kepada 645 pegawai dan kakitangan KPWKM di
Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini.
Rohani berkata pegawai dan kakitangan KPWKM yang ingin menyertai
aturan kerja anjal itu perlu mencapai Laporan Penilaian Prestasi Tahunan
(LNPT) 85 peratus dan ke atas pada 2014, berdisiplin, bebas daripada
tindakan tatatertib dan kurang memerlukan penyeliaan.
Katanya terdapat 249 kakitangan dan pegawai di KPWKM yang mendapat LNPT 85 peratus ke atas layak untuk membuat permohonan.
“Permohonan untuk menyertai aturan kerja anjal itu telah dibuka pada 1
Mac lalu dan mereka yang layak akan dinilai oleh ketua bahagian
masing-masing.
“Buat masa ini permohonan masih lagi terbuka dan jumlah yang terpilih akan diumumkan pada 15 Mac ini,” jelasnya.
Menurutnya, sebagai permulaan aturan kerja anjal itu akan
dilaksanakan selama tiga bulan untuk melihat keberkesanannya dan akan
dinilai untuk penambahbaikan sebelum dipertimbang untuk diperluaskan
kepada agensi dan jabatan lain di bawah KPWKM.- BERNAMA