Kenaikan Tambang Teksi Mesti Setimpal Dengan Perkhidmatan

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan teksi harus ditingkatkan selaras dengan kenaikkan tambang baharu Jumaat lepas, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi.

Pada masa sama, beliau berkata pelaksanaan tambang baharu adalah relevan berikutan perkhidmatannya lebih bersifat ‘pintu ke pintu’.

“Berbanding dengan perkhidmatan bas dan rel yang menggunakan lalun tertentu dan mengambil penumpang secara beramai-ramai, teksi memberikan perkhidmatan lebih kepada individu berkemampuan dan pelancong yang mementingkan keselesaan dan kesenangan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perkapalan Kebangsaan 2015, Institut Maritim Malaysia (MIMA) di sini hari ini.

Katanya dengan pelaksanaan kadar baharu tambang teksi, ia juga diharap dapat membantu meningkatkan industri pelancongan negara.

Pada 19 Mac lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar mengumumkan penyelarasan kadar tambang teksi dan kereta sewa yang dibenarkan naik antara 20 hingga 67 peratus berkuat kuasa serta-merta, manakala mulai 15 Mei, tambang bas ekspres dan rel naik 22.6 peratus.

Sementara itu mengenai industri perkapalan di Malaysia, ia berkata ia menyumbang hampir 95 peratus kepada jumlah perdagangan negara dan menyumbang hampir RM15 bilion kepada ekonomi negara pada 2014.

Beliau berkata walaupun perkapalan banyak menyumbang dan berprestasi baik sejak beberapa tahun, namun masih banyak perlu ditambah baik terutama dalam aspek memastikan sebahagian besar barangan dan perkhidmatan dikendali oleh kapal domestik.

“Strategi dan proses baharu diperlukan yang dapat membantu membentuk industri untuk memenuhi kehendak pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya.

Bertemakan ‘Menghidupkan Semula Perkapalan Malaysia untuk Ekonomi Lebih Kukuh’, persidangan sehari ini disertai kira-kira 200 pakar dan pemimpin industri perkapalan negara dengan memfokus kepada komponen penting pelan induk perkapalan bagi memenuhi keperluan pelbagai pihak. – BERNAMA