PUTRAJAYA – Lebih 11,000 daripada 455,839 calon Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) 2014 memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata
pelajaran yang diduduki, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr
Khair Mohamad Yusof.
Mereka merupakan 2.62 peratus atau 11,289 calon yang mendapat gred
A+, A dan A-, berkurangan berbanding 13,970 yang memperoleh keputusan
sama pada tahun 2013.
Beliau berkata penurunan itu antara lain disebabkan sikap calon yang
sering meramalkan bentuk soalan pada setiap tahun adalah sama sehingga
menyebabkan mereka mengulang kaji mengikut cara lama.
“Dulu boleh jangka (soalan), tapi mulai tahun lepas kita dah ubah
(pengolahan soalan), soalan tetap sama, standard sama, cuma memerlukan
cara pemikiran yang berbeza.
“Tapi bagi calon yang memberi tumpuan pada pelajaran dan ilmu, mereka
tetap akan mendapat keputusan yang cemerlang,” katanya ketika
mengumumkan analisis keputusan SPM 2014 di sini hari ini.
Khair berkata sebilangan besar calon yang memperoleh keputusan
cemerlang dalam SPM tahun lalu terdiri daripada kumpulan calon yang
menduduki sembilan dan 10 mata pelajaran.
Menjelas lanjut mengenai 11,289 calon yang memperoleh keputusan
cemerlang, beliau berkata sebanyak 9,438 adalah calon sekolah
Kementerian Pendidikan, manakala 2,078 lagi calon selain daripada
sekolah di bawah kementerian.
Katanya indeks yang diguna untuk menunjukkan pencapaian calon di
seluruh negara ialah Gred Purata Nasional (GPN) yang jika semakin kecil
nilainya menunjukkan pencapaian yang lebih baik.
“Indeks GPN tahun lalu adalah 5.08 berbanding 4.93 pada 2013 menurun sebanyak 0.15,” katanya.
Khair berkata prestasi mata pelajaran pula diukur menggunakan Gred
Purata Mata Pelajaran (GPMP) iaitu nilai yang lebih kecil menunjukkan
prestasi mata pelajaran yang lebih baik.
Katanya berdasarkan GPMP tahun 2014, sebanyak 28 daripada 73 mata
pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi, 43 menurun manakala dua lagi
mengekalkan prestasi sama seperti sebelumnya.
“Bagi mata pelajaran teras, prestasi mata pelajaran Pendidikan Islam
meningkat sebanyak 0.14 GPMP iaitu 4.28 pada tahun 2014 berbanding 4.42
pada 2013.
“Prestasi bagi mata pelajaran teras yang lain iaitu Bahasa Melayu;
Bahasa Inggeris; Pendidikan Moral; Sejarah; Matematik dan Sains,
menurun.
“Mata pelajaran Pendidikan Moral menunjukkan penurunan tertinggi
sebanyak 0.38 mata GPMP iaitu 4.70 pada tahun 2014 berbanding 4.32 pada
2013,” katanya.
Khair berkata, bagi mata pelajaran elektif pula, sebanyak 27 daripada 66 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi.
Katanya dalam bidang elektif sains, mata pelajaran Sains Tambahan
menunjukkan peningkatan prestasi yang tertinggi sebanyak 0.18 mata GPMP
iaitu 5.31 pada 2014 berbanding 5.49 pada 2013.
Dalam bidang elektif teknikal, mata pelajaran Pengajian Kejuruteraan
Awam; Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik; Reka Cipta dan
Teknologi Komunikasi dan Maklumat menunjukkan peningkatan prestasi,
katanya.
“Mata pelajaran Reka Cipta mencatat peningkatan yang signifikan sebanyk 0.71 mata GPMP iaitu 3.03 pada 2013,” katanya.
Tambah Khair mulai SPM 2014 sejumlah 34 mata pelajaran aliran
vokasional tidak lagi ditawarkan kepada calon, sebaliknya mata pelajaran
itu kini ditawarkan kepada murid yang mengikuti program di Kolej
Vokasional.
Mengenai pensijilan SPM, Khair berkata sebanyak 364,742 calon SPM
2014 yang pertama kali menduduki dan mendaftar untuk sekurang-kurangnya
enam mata pelajaran teras layak mendapat sijil.
Khair berkata, daripada jumlah itu sebanyak 334,729 merupakan calon
sekolah Kementerian Pendidikan, manakala selebihnya atau 29,995
merupakan calon selain daripada sekolah di bawah kementerian.
Dalam pada itu, beliau berkata jurang pencapaian calon di bandar dan
luar bandar mengecil sebanyak 0.05 mata GPN iaitu 0.55 pada 2014
berbanding 0.60 pada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun beliau berkata pencapaian calon di bandar dalam SPM
tahun lalu menurun sebanyak 0.17 mata GPN iaitu 4.85 berbanding 4.68
pada 2013.
“Pencapaian calon di luar bandar tahun lalu juga menurun sebanyak 0.12 mata GPN iaitu 5.40 berbanding 5.28 pada tahun 2013.
“Ini menunjukkan penurunan pencapaian calon di luar bandar adalah
0.12 mata GPN lebih rendah berbanding 0.17 mata GPN untuk calon di
bandar,” katanya.
Selain itu Khair berkata jumlah calon berkeperluan khas untuk SPM
tahun lalu meningkat daripada 883 pada 2013 kepada 964 iaitu pertambahan
sebanyak 81 orang.
Katanya, daripada jumlah keseluruhan 964 calon berkeperluan khas itu,
tiga yang mempunyai masalah rabun dan dua lagi dengan kecacatan lain,
berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran
diduduki.
“Kejayaan mereka menunjukkan bahawa semua calon berpeluang untuk cemerlang dalam peperiksan SPM,” katanya.
Sebanyak 455,839 calon menduduki SPM tahun lalu yang diadakan dari 3
November hingga 3 Disember, berkurangan sebanyak 14,556 atau 3.1
peratus. – BERNAMA