MELAKA – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron mengarahkan
ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri melakukan ujian tapisan
keselamatan terhadap kakitangan bawah seliaan mereka bagi mengesan
sebarang penglibatan dalam aktiviti militan IS.
Beliau berkata langkah itu perlu dilakukan dengan segera dan secara
berterusan kerana ancaman IS tidak dapat dilihat dengan mata kasar
kerana pada awalnya ia melibatkan pemikiran.
“Saya yakin ada ancaman itu kerana mereka mungkin bersimpati dengan
perjuangan IS. Oleh itu, saringan keselamatan ini penting kerana kami
tidak mahu ada pegawai atau kakitangan kerajaan dan agensi negeri ini
terlibat dalam fahaman ini kerana ia boleh mengancam keselamatan
masyarakat dan juga negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan taklimat
keselamatan dan ancaman gerakan militan IS di Dewan Besar Universiti
Teknikal Malaysia Melaka di sini, Isnin.
Taklimat dihadiri kira-kira 1,000 pelajar universiti awam dan swasta
itu disampaikan Ketua Penolong Pengarah bahagian Penyelidikan dan
Keurusetiaan Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Rosli Abas.
Idris berkata tapisan itu boleh dimulakan dengan ujian saringan urin
kerana difahamkan mereka yang terpengaruh dalam fahaman IS dikenal pasti
turut terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Penjawat awam yang didapati positif dadah dalam ujian saringan urin
ini akan diambil tindakan mengikut Perintah Am sedia ada sebelum
saringan keselamatan lebih terperinci dijalankan terhadap mereka,”
katanya.
Terdapat kira-kira 5,000 kakitangan awam di Melaka. – BERNAMA