KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengekalkan nama Institut Kajian
Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia kerana ia tiada kena mengena
dengan ‘Islamic State of Iraq and Syria’ (ISIS) yang menjadi kecaman
dunia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim
berkata ISIS Malaysia dikenali oleh semua pihak di dalam dan luar negara
atas peranan penting institusi itu terhadap penganjuran pelbagai
aktiviti sejak ditubuhkan pada 8 April 1983.
“Kerajaan sedar bahawa akronim ISIS sedang digunakan secara meluas
oleh pihak-pihak tertentu untuk merujuk Islamic State of Iraq and Syria.
Seperti yang diketahui nama singkatan ISIS diguna secara meluas oleh
media barat.
Namun, negara-negara Arab mengunakan DAESH, iaitu akronim daripada
huruf singkatan ‘Islamic State in Iraq and Syria’ dan di dalam bahasa
Arab ia juga berbunyi seakan-akan membawa maksud ‘Crushing Something
Underfoot’ (menghancurkan sesuatu yang mengganggu),” katanya menjawab
soalan Datuk Norah Abd Rahman (BN-Tanjong Manis) pada persidangan Dewan
Rakyat di sini, hari ini.
Norah bertanya mengenai pendirian kerajaan sama ada bercadang untuk
menukar nama ISIS Malaysia kepada nama lain memandangkan singkatan ISIS
ketika ini sering dikaitkan dengan aktiviti keganasan oleh kumpulan
militan IS.
Shahidan berkata ISIS Malaysia berusaha menubuhkan Asean-ISIS yang
merupakan gabungan sepuluh institusi strategik dan kajian antarabangsa
negara Asean sejak 1988 yang diiktiraf oleh pelbagai pihak termasuk
swasta dan kerajaan.
Dalam pada itu, katanya, semua pihak seharusnya bersepakat dalam
memerangi aktiviti keganasan itu serta menjauhi golongan muda daripada
terpengaruh dengan fahaman itu.
Menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai)
mengenai Rang Undang-undang Pencegahan Keganasan (Pota) yang akan
dibentangkan khusus kepada usaha memerangi kumpulan militan IS, Shahidan
berkata semua pihak termasuk pembangkang harus menyokong rang
undang-undang itu bagi usaha sedemikian.
Terdahulu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Senator Datuk Dr Loga
Bala Mohan berkata Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) telah
mengadakan sesi Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) bersama enam jurunilai
profesional bagi mengemukakan cadangan berhubung nilai tanah untuk
tujuan pembangunan di Kampung Baru.
Menjawab soalan Datuk Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) mengenai
nilai tanah Kampung Baru serta status pelaksanaan Pelan Induk Terperinci
Pembangunan Kampung Baru (PITPKB), Dr Loga berkata pandangan
keenam-enam jurunilai itu akan memberikan perspektif yang lebih
menyeluruh serta tidak akan diragui kerana dilaksanakan secara kolektif
dan profesional.
Mengenai status PITPKB, Dr Loga berkata kini terdapat empat projek
yang sedang dalam pembinaan dan sembilan projek lagi sedang menanti
kelulusan pelan kebenaran merancang.
Dr Loga berkata PKB telah memainkan peranan dalam memastikan
projek-projek berpotensi dapat dilaksanakan segera antaranya mengadakan
sesi rundingan dengan agensi teknikal dalam menyelesaikan isu kelulusan
legasi residen. – BERNAMA