KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak bercadang melaksanakan sistem tambatan
ringgit bagi menangani kejatuhan nilai ringgit ketika ini, kata Timbalan
Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong.
Beliau berkata kerajaan tidak melaksanakan dasar yang sama seperti
krisis kewangan pada 1997-1998 berikutan kedudukan ekonomi Malaysia
ketika ini berbeza berbanding situasi ketika itu.
Katanya ia disebabkan kedudukan ekonomi negara pada masa kini masih berada pada tahap kukuh.
“Keadaan semasa didorong perkembangan global seperti yang dialami
negara serantau, yang penting aktiviti ekonomi kewangan negara masih
tidak terjejas dan langkah ekstrem seperti tambatan ringgit untuk
situasi ekstrem dan kita tidak mengalami situasi itu,” katanya dalam
sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Datuk Seri
Abdul Ghafur Salleh (BN-Kalabakan) mengenai cadangan kerajaan
melaksanakan tambatan ringgit sebagai pelan tindakan komprehensif
kerajaan bagi menangani kejatuhan nilai ringgit sekiranya ekonomi negara
dan dunia terus merudum.
Chua berkata Bank Negara juga mempunyai peruntukan undang-undang yang
berkaitan untuk menghalang aktiviti spekulasi terhadap ringgit.
Terdahulu, menjawab mengenai pelan tindakan kerajaan, Chua berkata
penyusutan nilai ringgit akan menyebabkan peningkatan kos pengeluaran
berikutan kenaikan harga bahan mentah yang diimport.
Bagaimanapun, katanya kesan itu akan diserap oleh harga bahan mentah
yang lebih rendah susulan kejatuhan harga minyak global dan harga
komoditi.
“Harga minyak mentah global turun 47 peratus sementara harga makanan dunia turun sebanyak 12 peratus sejak September 2014.
“Oleh itu kesan terhadap kos bagi pengeluar adalah terkawal. Ini
ditunjukkan oleh Indeks Harga Pengeluar yang turun sebanyak 3.5 peratus
antara September 2014 dan Januari 2015,” katanya.
Chua bagaimanapun berkata kesan terhadap kadar inflasi adalah kecil
memandangkan barangan import tidak termasuk petrol dan diesel mencakupi
7.2 peratus daripada bakul Indeks Harga Pengguna (IHP).
Beliau berkata ekonomi negara masih berada pada tahan kukuh dengan
mencatat pertumbuhan yang mapan sebanyak enam peratus pada tahun 2014
berbanding 4.7 peratus pada 2013.
Katanya pertumbuhan ekonomi yang baik itu adalah hasil daripada
pelbagai inisiatif yang diambil untuk mempelbagaikan ekonomi negara
serta meningkatkan daya tahan dan daya saing negara.
“Pertumbuhan ekonomi ini dipacu oleh permintaan domestik dan
asas-asas ekonomi kekal kukuh seperti kadar pengangguran yang rendah,
sistem kewangan yang teguh dan rizab antarabangsa yang tinggi iaitu
sebanyak U0S109.2 bilion (RM381.5 bilion),” katanya. – BERNAMA
