SHAH ALAM – Seorang penganggur dijatuhi hukuman gantung sampai mati
oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh
seorang perunding teknologi maklumat, tiga tahun lepas.
Hakim, Datuk Abdul Halim Aman menjatuhkan hukuman itu ke atas
tertuduh, Mohd Naim Ramli, 27, selepas berpuas hati pihak pendakwaan
berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.
Dalam penghakimannya, Abdul Halim berpuas hati bahawa keterangan
saksi ke-13 pendakwaan (SP13), Abdul Hazim Fazalul Rahman yang merupakan
rakan sejenayah tertuduh adalah benar, jelas dan telus tanpa
menyembunyikan peranannya (SP13) dalam kejadian itu.
Beliau juga mendapati saksi itu tidak mereka dan menyembunyikan fakta semasa memberi keterangan.
“SP13 berjaya menyakinkan mahkamah akan insiden yang berlaku,
tambahan pula keterangannya turut disokong saksi-saksi lain. Jika tiada
sokongan pun keterangannya pun sudah kuat dan justeru mahkamah
berpendapat SP13 ialah saksi yang boleh dipercayai.
Sementara pembelaan tertuduh pula hanya lebih kepada penafian semata-mata.
Penafian tanpa disokong bukti lain yang konkrit bukan satu pembelaan
yang kukuh dan pembelaan tertuduh tidak mampu menimbulkan keraguan yang
munasabah terhadap kes pendakwaan,” katanya.
Sehubungan itu, Abdul Halim memutuskan satu-satunya hukuman yang
ditetapkan bagi kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan
iaitu tertuduh digantung di leher sehingga mati.
Mohd Naim didakwa membunuh Loh Min Lee, 36, di rumah No 53, Jalan
Putra Perdana 2/22, Taman Putra Perdana, Puchong dekat sini, pada pukul
4.15 pagi, 7 Disember 2012.
Laporan bedah siasat menunjukkan punca kematian mangsa disebabkan kecederaan di bahagian kepala akibat benda tumpul.
Sebanyak 22 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar
sementara tertuduh diwakili peguam Halim Ashgar Mohd Hilmi. – BERNAMA
