ALOR SETAR - Seorang remaja lelaki yang sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh seorang remaja perempuan 14 tahun di kawasan bendang terbiar, hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan pilihan menyebabkan kematian remaja itu pada November 2013.
Mohd Firdaus Mohd Faridul, 20, membuat pengakuan itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Dr Choo Kah Sing, mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.
Tertuduh sebelum ini berdepan tuduhan membunuh Noor Syafikah Nadia Abdullah, 14, di kawasan bendang terbiar di Kampung Alor Senibong, Mukim Tajar, Alor Setar antara 9.30 malam hingga 11.30 malam, 29 November 2013, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh badan yang mungkin menyebabkan kematian.
Mahkamah menetapkan 9 April depan sebagai tarikh untuk jatuh hukum.
Ketika membentangkan fakta kes, Timbalan Pendakwa Raya Salim Soib berkata pemeriksaan oleh Pakar Perunding Forensik Hospital Sultanah Bahiyah Dr Mohd Shuhaini Mohd Noor pada 1 Disember 2013 menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat lemas dengan rongga mulut, saluran pernafasan dan rongga perut dipenuhi dengan lumpur cair.
"Doktor turut berpendapat sebab kematian mangsa adalah 'drowning' atau mati lemas dan ia berlaku di tempat yang airnya berlumpur," katanya.
Hasil bedah siasat turut menemukan beberapa perkara antaranya seperti kesan lebam pada kedua-dua belah mata, kesan melecet di tepi kiri dan kanan badan serta kesan lebam dan melecet di kedua-dua belah lengan atas, yang dipercayai diakibatkan oleh benda tumpul, katanya.
Terdahulu, peguam Burhanudeen Abd Wahid yang mewakili tertuduh meminta mahkamah mengurangkan hukuman memandangkan anak guamnya merupakan anak sulung daripada lima beradik dan selalu membantu ayahnya mengerjakan bendang.
Tertuduh yang hanya melanjutkan pelajaran sehingga tingkatan 4, ketika ini sedang membuat persediaan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini, katanya.
Pada 30 November 2013, mayat Noor Syafikah Nadia ditemukan di kawasan bendang terbiar dalam keadaan tertiarap dan hanya memakai coli manakala mayat dua adiknya iaitu Nur Izzati Husna, 12, dan Puteri Nurul Akma, 3, ditemukan dalam terusan Mada di Kampung Padang Tani, dekat Alor Semela pada 1 Disember.
Sebelum itu mereka dikatakan keluar rumah pada 29 November dengan menunggang motosikal kira-kira 7.30 malam. - Bernama