Bekas vokalis Kumpulan Slam, Zamani Ibrahim (kiri) berwajah baru diiringi peguamnya, Ahmad Zahari Muhaiyar, keluar dari Mahkamah Mahkamah Majistret Ampang, di sini, hari ini. - Foto BERNAMA |
KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Ampang hari ini menetapkan 10 April
bagi sebutan semula kes memiliki dan mengambil dadah melibatkan bekas
vokalis kumpulan Slam, Zamani, dan pembantu peribadinya.
Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman menetapkan tarikh itu bagi menunggu laporan kimia dan penyerahan dokumen kes berkenaan.
Di luar mahkamah, peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili Zamani,
atau nama penuhnya Zamani Ibrahim, 43, memaklumkan bahawa anak guamnya
masih dalam proses pemulihan dan mempunyai lima bulan lagi untuk berada
di pusat pemulihan sebelum bersedia bertemu masyarakat.
“Alhamdulillah, kesihatan Zamani menunjukkan perkembangan positif dan
berat badannya juga telah naik daripada 45 kilogram kepada 54 kilogran
dalam masa lebih sebulan di pusat pemulihan itu,” katanya kepada
pemberita ketika ditemui selepas kes itu disebut hari ini.
Zamani dan Nur Juliana Abdul Rani, 32, mengaku tidak bersalah
terhadap pertuduhan bersama-sama memiliki 1.2 gram heroin di satu alamat
di Taman Keramat di sini pada kira-kira 12.30 pagi, 21 Jan lepas.
Penyanyi yang popular dengan lagu Gerimis Mengundang itu juga didakwa
telah mengambil dadah jenis morfin di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah
Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di sini, kira-kira 2
pagi pada tarikh sama.
Nur Juliana pula didakwa mengambil dadah jenis Amphetamine pada kira-kira 2.05 pagi di tempat dan tarikh sama.
Bagi pertuduhan memiliki dadah, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2)
Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3)
akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa
hukuman denda RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau
kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan mengambil dadah, mereka didakwa mengikut Seksyen
15(1)(a) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama dan
jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara
tidak melebihi dua tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurdeenie Abdul Rashid. - BERNAMA