KULIM – Ketua Balai Polis Kulim Hi-Tech Park, Penolong Penguasa Chua
Poh Teik, 57, maut apabila motosikal yang dinaikinya terbabas
menyebabkan beliau terjatuh di dalam parit dalam kejadian awal pagi
tadi.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Abdullah Arshad berkata,
ketika kejadian mangsa sedang melakukan rondaan antijenayah di sekitar
Taman Selasih dengan menunggang motosikal bersendirian sebelum terbabas.
“Mayat Poh Teik ditemui pihak polis peronda pada 3.30 pagi tadi,
kira-kira dua jam selepas kejadian yang meragut nyawanya,” katanya
ketika dihubungi hari ini.
Menurut Abdullah, mayat Poh Teik dihantar ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat.
Poh Teik mula bertugas sebagai Ketua Balai Polis Kulim Hi-Tech Park
sejak 2009 dan dijangka bersara kira-kira tiga tahun lagi, katanya. –
BERNAMA