SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Khalid Samad hari ini menyelar
kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob baru-baru ini
bahawa tiada keperluan menukar presiden parti itu.
Khalid berkata, tindakan Ahmad, yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas,
bercanggah dengan kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini yang
terbuka dengan pertandingan terhadap jawatan itu.
Pada Khamis lepas Hadi menyatakan beliau bersedia dicabar pada muktamar
tahunan parti itu yang ke-61 Jun depan sekiranya pertandingan itu
mendapat sokongan anggota parti.
Khalid berkata, kenyataan Ahmad itu memberikan imej negatif kepada
parti tersebut sedangkan Abdul Hadi telah menyatakan keterbukaannya
untuk dicabar.
"Kenyataan (Ahmad) itu seolah-olah menunjukkan Hadi tidak mendapat sokongan daripada anggota Pas.
"Pemilihan jawatan presiden tidak seharusnya tertumpu kepada kehebatan
ilmu seseorang pemimpin, sebaliknya lebih kepada kualiti kepemimpinan,"
katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Mesyuarat Agung Tahunan Pas
kawasan Shah Alam, di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Ahmad semalam yang mahu Hadi
dikekalkan sebagai Presiden Pas kerana "mampu menjalankan tanggungjawab
dengan baik dalam menghadapi pelbagai situasi".
Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, ahli Pas seharusnya
diberi peluang memilih calon yang disukai bagi jawatan presiden parti
itu seperti yang termaktub dalam undang-undang parti.
Semalam mesyuarat agung Pas kawasan Kota Tinggi sebulat suara
mencalonkan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa untuk jawatan Presiden.
Pada 9 Mac lepas, Pas kawasan Kota Bharu mencalonkan Naib Presiden
parti itu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk jawatan presiden.
Tuan Ibrahim menolak pencalonan itu dengan mengatakan Hadi tidak perlu ditukar.
Tuan Ibrahim berkata beliau lebih berminat bertanding jawatan Timbalan Presiden parti. - Bernama