Kisah Dua Ikon Bolasepak Dari Dua Zaman Berbeza

MATTHEWS (kiri) dan Ronaldo.
Ini kisah dua ikon bola sepak di zaman berbeza. Seorang memperoleh pendapatan £20 (RM108) seminggu, seorang lagi lebih daripada £300,000 (RM1.6 juta). Seorang mengiklankan rokok, seorang lagi menjadi model rangkaian seluar dalam jenama sendiri.

Blackpool-Madrid, Ford Classic-Bugatti, teman wanita pe­ngintip komunis-teman wanita model pakaian renang, semua itu hanya imbasan untuk menggambarkan kehidupan dua pemain terhebat dalam era berbeza.

Namun bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo, yang memenangi anugerah Ballon d'Or buat tahun kedua berturut-turut, dan pemenang pertama anugerah itu, Sir Stanley Matthews bekas pemain Stoke dan Black­pool, turut berkongsi sesuatu yang menjadikan mereka antara terbaik dunia.

PEMAKANAN

Pada zaman ini, tidak ada pemain bola sepak elit yang tidak mempunyai pakar pemakanan yang memutuskan sama ada mereka terlebih mengambil karbohidrat atau kurang 7 peratus Vitamin D (mengikut cadangan pe­ngambilan harian).

Real Madrid mempunyai pakar pemakanan sendiri tetapi Ronaldo mengambil berat soal dietnya sebelum menandatangani sebarang kontrak.

Sewaktu bersama Manchester United, penyerang Portugal itu menggajikan tukang masak sendiri bagi memastikan dia me­ngambil makanan yang betul.

Menurut chef pasukan Portugal, Luis Lavrador, dietnya banyak menggunakan ikan termasuk swordfish, sea bass dan bream serta makanan berprotin tinggi.

Minyak ikan yang terkandung dalam makanan ini dikatakan meningkatkan pengeluaran protein yang meningkatkan kekuatan otot dan merangsang prestasi fizikal.

Sewaktu era 1950-an, ketika pemain lebih senang mengunyah pai, kerepek dan minuman keras selepas perlawanan, apa yang dilakukan Matthews meninggalkan kesan mendalam.

"Dia hanya minum jus lobak merah setiap Khamis," kata bekas rakan sepasukan Jimmy Armfield. "Ia sesuatu yang pelik dahulu, begitu juga ketika ini."

Jus berkenaan mengandungi vitamin A dan C yang juga mampu memperbaiki penglihatan dan penghadaman, "Dietnya sama saja setiap hari," kata anaknya Jean.

"Jus lobak merah pada tengah hari serta steak dan salad untuk makan malam. Setiap Isnin dia tidak akan makan kerana kata­nya berpuasa sehari akan menjadikannya lebih baik.

"Corak kehidupannya tersusun. Dia suka pergi ke Turkish bath setiap Isnin. Dia sukakan rutin."

LATIHAN

Matthews sentiasa berusaha untuk mencapai tahap kecergasan tertinggi. Bapanya, peninju featherweight memupuk etika disiplin dalam latihan.

"Beliau mungkin melihat sesua­tu dalam diri saya dan memberitahu saya perlu menjadi cergas," kata Matthew dalam wawancara ketika awal kariernya bersama Stoke.

"Anda perlu berjalan dari Hanley ke Stoke, sejauh dua batu dan kembali, makan tengahari dan berjalan semula. Saya berjalan lapan batu sehari.

Sewaktu berpindah ke Black­pool, dia mereka program latihannya sendiri, bangun seawal jam 6 pagi.

"Saya akan berada di pantai tiga hari seminggu selepas latihan dan berjalan enam batu dari South Shore ke St Annes."

Ada persamaannya dengan Ronaldo. Pemain Portugal itu pada mulanya dilihat lembik ketika remaja namun bentuk fizikalnya dan kekuatannya melalui satu transformasi.

"Dia ada perancangan," kata Mike Clegg, bekas jurulatih yang memberi tumpuan terhadap kekuatan dan pemulihan tubuh pemain di Manchester United.

"Dia mempunyai matlamat, 'Saya perlu menjadikan diri saya istimewa dan saya akan me­ngikuti rejim latihan setiap hari dan minggu, bulan dan tahun untuk menjadi sebaik mungkin."

Ronaldo berlatih lima hari seminggu, melakukan latihan kardiovaskular dan melatih kaki, lengan, kekuatan teras.

"Latihannya memberi tekanan terhadap tenaga, ketahanan, kepantasan, kekuatan, dan pergerakan selain latihan bersama rakan sepasukan."

Doktor pasukan Portugal, Antonio Gaspar, berkata: "Saya fikir atlet sepertinya boleh terus bermain sehingga 33 tahun malah dalam kesnya dia mungkin boleh mencapai kemuncak pada usia 35 tahun. Dia seorang atlet luar biasa, lebih daripada pemain biasa."

KISAH MENARIK

Apa yang menarik, karier Matthews terganggu akibat Perang Dunia Kedua dan ketika itu dia berkhidmat bersama Angkatan Tentera Udara Diraja.

PENDAPATAN
Gaji yang diterima Matthews pada awal kariernya boleh me­nyebabkan mereka yang bekerja selama 14 tahun pada ketika itu menangis.

Sewaktu memulakan karier di Stoke, pemain kelahiran Hanley itu menerima £5 (RM27) seming­gu pada musim perlawanan dan £3 (RM16) pada musim panas dan ketika di Blackpool, pemain yang digelar Wizard on the Wing meraih £20 (RM109) seminggu.

Dia menambahnya dengan tajaan, termasuk menerusi iklan rokok Craven meskipun dia tidak merokok, begitu juga dengan bonus.

Nilai £20 ketika itu diang­garkan berjumlah £682.80 (RM3,725) mengikut kiraan wang hari ini dan anehnya Matthew menerima gaji paling banyak ketika di penghujung karier iaitu pada usia 46 tahun, sewaktu kembali ke Stoke dengan menerima gaji £50 (RM272) seminggu.

Jumlah itu terlalu kecil berbanding apa yang diterima Ronaldo setiap minit dengan gaji mingguannya sebanyak £380,000 (RM2.07 juta) dan menerima pendapatan tambahan apabila mempromosi Nike, Emporio Armani, Castrol, KFC dan rangkaian seluar dalam keluarannya.

Bagaimanapun pendapatan £27 juta (RM147.4 juta) setahun hanya meletakkannya di tangga kedua senarai atlet dengan bayaran tertinggi di Forbes.

Dia memiliki sebuah rumah agam berharga £4.74 juta (RM25.8 juta) di Madrid dan koleksi kereta bernilai lebih daripada £80 juta (RM436.7 juta).

Sebaliknya Matthews memiliki sebuah Ford Classic, kereta dua pintu berharga £745 (RM4,066) dan mempunyai hartanah di Stoke bernilai £500,000 (RM2.72 juta).

NILAI

Bekas penyerang England, Jimmy Greaves, yang pernah melihat dan bermain dengan Matthews menulis: "Mulakan bidaan pada harga £50 juta (RM272.7 juta)."

Sebenarnya pemain itu bernilai £11,000 (RM59,988) di tahap kemuncaknya dan itulah yang dibayar Tangerines kepada Potters pada 1947. Ia bagaimanapun bukan rekod perpindahan Britain.

Sewaktu Matthews kembali ke Stoke, kelab itu membayarnya £3,500 (RM19,085) yang menjadikan jumlah bayaran perpindahannya kepada £14,500 (RM79,056).

Dianggarkan nilai Ronaldo mening­kat kepada £92 juta (RM501.4 juta) berbanding bayaran tinggi Real Madrid terhadapnya sebanyak £80 juta (RM435.9 juta) pada 2009.

Dan berapa nilai­nya sekarang? "Harga untuk tebus kontraknya adalah £785 juta (RM4.27 bilion)," kata ejennya Jorge Mendes tahun lalu.

PENCAPAIAN

Peperangan yang menjejaskan liga bola sepak Inggeris selama tujuh tahun, mengurang­kan jumlah gelaran yang sepatutnya di menangi Matthews.

Sebelum perang, dia membantu Stoke meraih gelaran Divisyen Kedua dan menyertai Blackpool yang menduduki tangga kedua di belakang Manchester United pada 1955-56.

Satu-satunya trofi utama yang dimenanginya adalah pada 1953, ketika membantu Seasiders menjuarai Piala FA, yang digelar 'final Matthews'.

Ia detik paling cemerlang buat Matthews. Berbaki 22 minit dan ketinggalan 1-3, Matthews mengetuai jentera serangan, membantu dua daripada tiga jaringan yang memastikan kemenangan Blackpool.

Selain menerima anugerah Kesatria pada 1965, Matthews memenangi anugerah Penulis Bola Sepak sebanyak dua kali dan pemenang pertama Ballon d'Or, menewaskan dua pemain Real Madrid iaitu Alfredo Di Stefano dan Raymond Kopa.

Ronaldo pula menjulang 11 trofi utama dan terus memburu kemenangan. Dia juga memenangi anugerah Pemain Terbaik Dunia dua kali, sebelum dikenali sebagai Ballon d'Or pada 2010. -myMetro