Dikisahkan para ulama silam bahawa ketika berlakunya kekurangan makanan dalam satu peristiwa yang menimpa di kalangan Bani Israel, maka lalulah seorang fakir menghampiri rumah seorang kaya dengan berkata...
"Sedekahlah kamu kepadaku dengan sepotong roti dengan ikhlas kerana Allah SWT,"
Setelah fakir miskin itu berkata demikian maka keluarlah anak gadis orang kaya, lalu memberikan roti yang masih panas kepadanya.
Sebaik sahaja gadis itu memberikan roti tersebut maka keluarlah bapa gadis tersebut yang bakhil itu terus memotong tangan kanan anak gadisnya sehingga putus.
Semenjak dari peristiwa itu maka Allah SWT pun mengubah kehidupan orang kaya itu dengan menarik kembali harta kekayaannya sehingga dia menjadi seorang yang fakir miskin dan akhirnya dia meninggal dunia dalam keadaan yang paling hina.
Anak gadis itu pula bertukar nasibnya menjadi seorang pengemis dan meminta-minta dari satu rumah ke rumah.
Maka pada suatu hari anak gadis itu menghampiri rumah seorang kaya sambil meminta sedekah, maka keluarlah seorang ibu dari rumah tersebut.
Ibu tersebut sangat kagum dengan kecantikannya dan mempelawa anak gadis itu masuk ke rumahnya. Ibu itu sangat tertarik dengan gadis tersebut dan dia berhajat untuk mengahwinkan anaknya dengan gadis tersebut.
Maka setelah perkahwinan itu selesai, maka si ibu itu pun memberikan pakaian dan perhiasan bagi menggantikan pakaiannya.
Pada suatu malam apabila sudah dihidang makanan malam, maka si suami hendak makan bersama isterinya yang baru dinikahinya itu.
Oleh kerana anak gadis itu kudung tangan kanannya dan suaminya itu pula tidak tahu bahawa dia itu kudung, ekoran ibunya juga telah merahsiakan tentang tangan gadis tersebut.
Maka apabila suaminya menyuruh dia makan, lalu dia makan dengan tangan kiri.
Apabial suaminya melihat keadaan isterinya itu dia pun berkata...
"Aku mendapat tahu bahawa orang fakir mungkin tidak tahu dalam tatacara harian, oleh itu makanlah dengan tangan kanan dan bukan dengan tangan kiri."
Meskipun si suami berkata demikian, namun isterinya itu tetap makan dengan tangan kiri, walaupun suaminya berulang kali memberitahunya.
Dengan tiba-tiba terdengar suara dari sebelah pintu...
"Keluarkanlah tangan kananmu itu wahai hamba Allah, sesungguhnya kamu telah mendermakan sepotong roti dengan ikhlas kerana Ku, maka tidak ada halangan bagi-Ku memberikan kembali akan tangan kananmu itu."
Setelah gadis itu mendengar suara tersebut, maka dia pun mengeluarkan tangan kanannya, dan dia mendapati tangan kanannya berada dalam keadaan asalnya, dan dia pun makan bersama suaminya dengan menggunakan tangan kanan.
Hendaklah kita sentiasa menghormati tetamu kita, walaupun dia fakir miskin apabila dia telah datang ke rumah kita maka sesungguhnya dia adalah tetamu kita.
Rasulullah SAW telah bersabda dalam hadisnya yang bermaksud;
"Barangsiapa menghormati tetamu, maka sesungguhnya dia telah menghormatiku, dan barangsiapa menghormatiku, maka sesungguhnya dia telah memuliakan Allah SWT. Dan barangsiapa telah menjadi kemarahan tetamu, dia telah menjadi kemarahanku. Dan barangsiapa menjadikan kemarahanku, sesungguhnya dia telah menjadikan murka Allah SWT."
Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud;
"Sesungguhnya tetamu itu apabila dia datang ke rumah seseorang mukmin itu, maka dia masuk bersama dengan seribu berkah dan seribu rahmat."
Apakah kita di akhir zaman ini memuliakan tetamu dan mengambil iktibar dalam bersedekah sebagaimana yang dianjurkan Rasulullah SAW? Wallahu'alam