SIAPA tak kenal Mawar Abdul Karim atau senang disapa Mawar Fareeda yang merupakan isteri kepada pelakon terkenal, Fizo Omar.
Rasanya umum mengetahui, Mawar merupakan anak kepada usahawan tudung eksklusif, Fareeda.
Meskipun dilihat mempunyai perniagaan yang berjaya sekarang, tidak
ramai tahu kepayahan yang dilalui Mawar pada awal pembabitannya dalam
dunia perniagaan.
Pepatah ‘Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian’ amat sesuai menggambarkan kisahnya. |
Menurut Mawar, pada awal bisnes ibunya hanya menjahit tudung yang
ditempah rakan-rakan dan saudara-mara di kediaman mereka sahaja.
“Saya masih ingat, pada pertengahan tahun 2006 ibu mula
berjinak-jinak menjahit tudung di rumah kami yang terletak di Permatang
Pauh, Pulau Pinang,” katanya.
Bagi membantu ibu, Mawar menyatakan zaman remajanya terpaksa
dikorbankan terutama bagi mengembangkan perniagaan tudung Fareeda yang
suatu ketika dahulu langsung tidak dikenali.
Bagi tujuan itu dia melibatkan diri seawal usia 15 tahun dalam bidang
fotografi dengan menjadi model tudung hasil tangan ibunya sendiri.
“Saya mula jadi model tudung ibu sendiri bila kawan dari Pulau Pinang tidak dapat datang sesi fotografi.
“Alhamdulillah, pengalaman belajar mengenai fotografi menyebabkan saya tidak bermasalah untuk bergaya hadapan kamera,” ujarnya.
Mawar yang kini
menggalas tanggungjawab selaku Pengarah Fareeda Global Resouces Sdn Bhd
akui, perlu berusaha keras demi perniagaan yang dijalankan keluarganya
ini.
“Saya bukan dilahirkan terus senang, apa yang kami kecapi sekarang adalah hasil usaha daripada keperitan masa lalu.
“Bukan senang
berada di tahap ini, pelbagai rintangan terpaksa dihadapi. Walaupun
mempunyai butik sendiri, saya turun padang jual sendiri tudung Fareeda
di Kompleks PKNS Shah Alam.
“Saya sendiri bawa
barang dan stok tudung kerana pekerja tidak cukup. Saya pernah jual
tudung di pasar raya Giant Seksyen 13, Shah Alam,” katanya.
Berkat kegigihannya dahulu nyata membawa pulangan apabila jenama Fareeda sudah berada pada tahap membanggakan.
Difahamkan, Mawar bakal tampil dengan koleksinya sendiri yang bakal berada di pasaran pada tahun ini.
Sumber: Sinar Harian