Dalam hidup bermasyarakat, kita tidak boleh lari daripada pujian, kejian dan umpatan terhadap setiap tindakan atau perbuatan yang dilakukan.
Dengan kata lain, sikap menjaga tepi kain orang lain memang berlaku. Untuk itu, penting bagi kita mengetahui dan menetapkan bahawa setiap perbuatan itu mesti berlandaskan syariat.
Ini supaya hidup kita yang sementara di atas muka bumi sentiasa mencari reda Allah.
Membicarakan tajuk ini, marilah kita mengikuti kisah Luqman al-Hakim iaitu seorang ahli hikmah.
Suatu hari, Luqman ingin pergi ke pasar dan telah dicatat segala peralatan dan barang keperluan yang ingin dibeli. Dalam mendidik anaknya untuk berhadapan dengan masyarakat dan pandangan manusia, Luqman turut membawa anaknya dan keldai ke pasar tempat orang ramai.
Senario pertama:
Ketika mereka tiba di sebuah perkampungan dengan si anak menunggang keldai tersebut dan Luqman menarik keldai dengan berjalan kaki. Orang ramai mula memerhatikan mereka dengan perasaan ganjil dan pelik melihatkan dua beranak itu bersama seekor keldai.
“Mengapa kanak-kanak itu yang menunggang keldai dan membiarkan bapanya berjalan kaki? Kenapa tidak ayahnya yang menunggang? Oh, sungguh biadab dan tercela anak itu, orang tua dibiarkan berjalan kaki, dia pula bersenang lenang di atas keldai! Ini menunjukkan sikap anak derhaka dan tidak pandai menghormati orang tua. Tidak pernahkah dia sedar ayahnya yang selama ini memberikan makan dan minum kepada dia?”
Senario kedua:
Dalam perjalanan, mereka sampai pula ke sebuah lagi perkampungan. Kali ini Luqman pula menunggang keldai.
Ketika itu, semua orang yang melihat kelibat dua beranak ini mula berbisik-bisik. Mereka mula mencela dan berkata:
“Mengapakah bapa yang menunggang, sedangkan si anak dibiarkan berjalan kaki menarik keldai? Anak itu masih kecil lagi, tentu kepenatan sepanjang perjalanan. Si bapa lebih besar daripada kanak-kanak itu dan sepatutnya si anak yang menunggang keldai tersebut. Bapa yang tidak berhati perut!”
Senario ketiga:
Setelah melepasi kampung kedua dan berfikir beberapa ketika, Luqman berkata kepada anaknya;
“Wahai anakku, kali ini kita menunggang keldai ini bersama-sama sehingga tiba di pasar.”
Namun, setibanya di sebuah kampung berhampiran dengan pasar berkenaan, tiba-tiba orang ramai mula bersuara;
“Lihat!, Seekor keldai membawa dua orang!, Alangkah seksanya keldai itu membawa beban berganda!” Mereka berkata kepada Luqman dan anaknya. “Tidakkah kamu berdua kasihan kepada keldai itu. Sudahlah berjalan pun tidak larat, inikan pula ingin membawa kamu berdua!”
Senario keempat:
Kali ini Luqman dan anaknya hanya membiarkan keldai itu tanpa penunggang dan sebarang beban. Namun apabila mereka melintasi kampung keempat, penduduk di situ berkata:
“Alangkah anehnya, keldai dibiarkan tidak ditunggangi, tuannya pula berjalan kaki, ada kemudahan tidak digunakan, tidak pandai menggunakan nikmat sedia ada!”
Kesimpulannya, kalau nak ikut kata manusia, serba salah dibuatnya. Orang yang berakal tidaklah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah SWT sahaja. Sesiapa memahami kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap sesuatu.
Berbalik kepada isu hudud, hendaklah kita umat Islam menyokong pelaksanaan hukum itu dan yakin dengan janji Allah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
Jika sekiranya penduduk negeri-negeri itu beriman dan bertakwa pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. (al-A’raaf: 96)
Jangan kita bimbang dengan penentangan manusia. -Utusan