Korea Selatan Izin Berzina, Batal Larangan 1953 Hukum Penzina



SEOUL – Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan pada Khamis memutuskan rakyat negara itu bebas berzina, sekali gus memansuhkan undang-undang pada 1953 yang mengenakan hukuman penjara maksimum dua tahun ke atas pesalah bersekedudukan.

Panel sembilan hakim mahkamah tertinggi negara itu mengundi 7-2 bagi membatalkan undang-undang kontroversi berusia 62 tahun itu yang selama ini menjadikan Korea Selatan satu-satunya negara bukan Islam di dunia mengharamkan perzinaan.

Majoriti hakim dalam penghakiman mereka berkata, kanun jenayah pada 1953 itu yang tegas melarang perzinaan adalah jelas sebagai menyalahi perlembagaan Korea Selatan seolah-olah perbuatan berzina dianggap satu tindakan jenayah boleh dihukum.

Laman web Ashley Madison popular di seluruh dunia kerana menggalakkan pasangan berkahwin untuk curang berzina dengan kekasih gelap. – Gambar hiasan
Dianggarkan sejak enam tahun lalu, hampir 5,500 orang disabitkan kesalahan berzina malah pada tahun lalu, kira-kira 600 orang ditahan di seluruh negara kerana melakukan perzinaan, namun hanya 22 pesalah yang dikenakan hukuman penjara.

Pada April 2014, pemerintah Korea Selatan menyekat laman web perzinaan global Ashley Madison versi tempatan kerana didakwa boleh mengancam nilai-nilai kekeluargaan negara itu yang masih konservatif memelihara institusi perkahwinan sah.

Di Korea Selatan, perzinaan hanya boleh didakwa jika ada aduan daripada pasangan yang mengalami kecederaan fizikal pada tubuh tetapi kebanyakan kes ditutup jika plaintif menarik balik tuduhan lazimnya diselesaikan secara bayaran ganti rugi.

Walaupun hidup moden dan dianggap negara maju, masyarakat Korea Selatan masih memelihara institusi perkahwinan. – Gambar hiasan
Undang-undang pada 1953 digubal dengan kepercayaan bahawa aktiviti perzinaan boleh menggugat ketenteraman masyarakat dan merosakkan institusi keluarga, namun ramai mengkritik peraturan itu sebagai lapuk dan menyekat hak asasi.

Perdebatan mengenai undang-undang itu mula tercetus sejak 2008 apabila salah seorang aktres terkenal Korea Selatan, Ok So-ri dihukum penjara selama lapan bulan kerana berzina dan bertindak membawa petisyen kepada mahkamah perlembagaan.

Pelakon wanita itu gagal kerana lima hakim yang membuat semakan semula ke atas undang-undang tersebut pada 1990, 1993 dan 2001 memutuskan berzina boleh dianggap bukan jenayah tetap pelakunya dikutuk dari segi moral norma masyarakat.

Asas undang-undang pada 1953 asalnya direka untuk melindungi hak wanita dari sudut kebajikan kerana jika berzina, wanita itu tidak dapat membuat tuntutan harta daripada pasangan selain memberi stigma imej negatif. – Agensi