KUANTAN – Kempen Penurunan Harga 2015 peringkat Kebangsaan yang
bermula hari ini, tetap dilaksanakan meskipun berlaku kenaikan harga
petrol dan diesel, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek.
Beliau berkata harga petrol bukanlah satu-satunya faktor yang
menentukan naik atau turun harga sesuatu barang kerana ia turut
dipengaruhi faktor lain seperti ketidaktentuan cuaca, bencana alam,
peningkatan kos sewa beli dan persekitaran ekonomi.
“Kenaikan harga barang ialah sesuatu yang berlaku di mana-mana saja
di dunia,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen itu di
pasar raya The Store di pusat membeli-belah Kuantan Parade di sini, semalam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Kepengunaan
Pahang, Datuk Seri Shahiruddin Abd Moin dan Pengurus Besar Kanan
Operasi Kumpulan The Store, Winky Pek.
Hasan berkata kementerian mengambil pelbagai inisiatif seperti
mengadakan pertemuan dengan pengilang, pemborong, pembekal, peniaga dan
persatuan dalam mencari jalan untuk menurunkan harga barang.
“Usaha seperti ini yang membolehkan kita anjurkan kempen sebegini
bagi meringankan beban rakyat selain mengadakan anugerah kedai harga
patut. Pada 2014 sebanyak 3,744 premis menerima anugerah ini dan
daripada jumlah itu, 82 premis terdapat di Pahang,” katanya.
Hasan juga menyifatkan pelancaran kempen yang dilaksanakan secara
serentak di seluruh negara itu sebagai sejarah kerana dilakukan sehari
selepas pengumuman kenaikan harga petrol dan diesel.
Kementeriannya semalam mengumumkan harga petrol dan diesel naik 25
sen seliter mulai tengah malam tadi menjadikan harga runcit baharu bagi
petrol RON95 kepada RM1.95 seliter, RON97 RM2.25 seliter dan diesel
RM1.95 seliter.
Mengulas mengenai kempen itu, Hasan berkata sebanyak 16 pasar raya
besar mengambil bahagian antaranya The Store, Tesco, Aeon Big, Giant,
Mydin, Milimewa Supermarket & Department Store, Econsave Cash &
Carry, 99 Speed Mart, Pasar Raya D’One Mart dan Pasar Raya Hock Kee
Seng.
Ia melibatkan lebih 1,000 cawangan pasar raya di seluruh negara,
dengan lebih 82,000 produk keperluan harian seperti makanan dan pakaian
ditawarkan dengan diskaun antara 10 ke 70 peratus, katanya.
“Tempoh kempen berbeza mengikut pasar raya, iaitu antara sebulan
hingga tiga bulan mengikut kemampuan pasar raya terlibat dan sambutan
pengguna, namun yang paling penting ialah walaupun harga turun, kualiti
produk masih kekal,” katanya.
Hasan berharap peniaga lain juga boleh mengambil inisiatif untuk
menganjurkan kempen serupa bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat
menikmati faedah penurunan harga barang. – BERNAMA