KUALA LUMPUR – Ancaman media sosial hari ini mengubah landskap
tindakan punitif dan pencegahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam
memastikan penguatkuasaan undang-undang selari dengan cabaran semasa
yang dilihat semakin kompleks.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata penularan ancaman
ekstremisme dan radikalisme serta hak kebebasan bersuara yang digunakan
bagi ‘menghalalkan’ perbuatan atau kenyataan berbaur hasutan di laman
sosial bukan isu yang boleh dipandang remeh.
Sebaliknya ia memerlukan pendekatan yang lebih tegas dalam memastikan
pencegahan secara holistik, tambahan apabila isu yang dimainkan
melibatkan ketenteraman awam dan keselamatan negara.
“Isu utama yang perlu dihadapi PDRM hari ini antaranya hasutan di
laman sosial, penyebaran ajaran sesat, kumpulan pelampau agama,
pengganas dan liberisme. Fahaman politik dan agama yang cenderung kepada
ekstremis dan radikal adalah penyumbang ancaman keganasan dari dalam
dan luar negara yang mampu mengganggu-gugat perpaduan nasional kita.
“Isu perkauman dan keagamaan yang dimainkan secara bebas tanpa
kawalan mempunyai impak yang serius terhadap masyarakat majmuk di
Malaysia. Adalah penting isu-isu yang melibatkan perkauman dan keagamaan
mesti dikekang tanpa jejaskan hak kebebasan bersuara rakyat yang
dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Khalid berkata demikian dalam wawancara khas bersama media sempena
sambutan Hari Polis ke-208 yang bertemakan ‘Polis Dan Masyarakat
Berpisah Tiada’.
“Saya juga berpendapat mencegah adalah lebih baik dan ia dapat
dilihat melalui tindakan kami yang begitu drastik dalam tempoh satu dua
minggu kebelakangan ini yang jelas menggambarkan betapa seriusnya kami
dalam mengambil tindakan terhadap mereka yang cuba hasut menggunakan
media sosial,” kata Khalid.
Beliau berkata tindakan drastik dari segi arahan yang diberikannya
melalui laman sosial adalah bagi memastikan tindakan dapat diambil
dengan pantas dan cepat dalam apa jua perbuatan yang melanggar peraturan
khususnya dalam kegiatan menghasut dan menyebarkan perkara-perkara yang
tidak benar.
Berdasarkan pandangannya, Khalid berkata ini adalah satu cara yang
segera dan pantas untuk pastikan perkara seperti ini (hasutan di laman
sosial) tidak merebak dan memberitahu masyarakat bahawa tindakan ini
tidak betul dan perlu dihentikan serta-merta.
“Polis sentiasa menjaga dan menghormati hak kebebasan bersuara tetapi
hak kebebasan bersuara ini ada hadnya, khususnya dalam negara kita yang
berbilang kaum, berbilang bangsa dan berbilang agama, jika ada orang
yang melanggar atau melampaui hak ini, saya macam ‘referee’ dan tindakan
akan diambil,” katanya.
Katanya kadangkala masyarakat mahu PDRM bertindak pantas dan apabila
beliau berbuat seperti itu, mereka mengatakan tidak betul pula dan
melanggar hak kebebasan bersuara.
“Saya telah beri amaran banyak kali khususnya kepada pemimpin politik
serta badan bukan kerajaan supaya berhati-hati bila suarakan pendapat
dan pandangan khususnya di media sosial kerana ia boleh menjurus kepada
keadaan yang mengancam keselamatan awam,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan pemerhatian pihaknya, terdapat pengurangan
dalam aktiviti menghasut melalui laman sosial ketika ini, dan berharap
ia berterusan serta tiada lagi pihak cuba menyalahgunakan platform itu.
Khalid menegaskan, pihaknya tidak akan memberikan sebarang amaran
khususnya berkaitan kesalahan yang berbaur hasutan sebaliknya tindakan
serta-merta akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar
mana-mana peraturan. – BERNAMA