"Ladies Speed Northerns" Suka Buat Kerja Amal

LADIES Speed Northerns aktif laku kerja amal, konvoi
Kehadiran mereka bukan untuk bersaing dengan sesiapa tetapi lebih kepada usaha berkawan dan merapatkan hubungan silaturahim sesama penunggang motosikal berkuasa tinggi, khususnya wanita di utara Semenanjung.

Itulah keazaman dan hasrat kelab motosikal Ladies Speed Northerns (LSN) untuk mencari seramai mungkin srikandi yang berupaya menunggang motosikal berkuasa tinggi dan memiliki semangat jitu dalam sukan permotoran tanpa meletakkan jurang sama ada berstatus isteri, ibu tung­gal atau masih bujang.

LSN ditubuhkan sejak setahun lalu hasil pengalaman beberapa ahli dengan kelab motosikal berkuasa tinggi, sebelum mereka akhirnya bergabung menubuhkan kelab motosikal tinggi khas untuk wanita.

Presidennya Norehan Desa, 41, berkata kelab berkenaan mempunyai 23 ahli dan perkenalan mereka bermula daripada kawan serta berkongsi minat sama iaitu menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Beliau yang memiliki Kawasaki Z1000 SX dan BMW GF800 berkata, selain berkongsi minat menunggang motosikal berkuasa tinggi, mereka turut menekankan soal kebajikan termasuk membantu golongan memerlukan seperti ibu tunggal, anak yatim dan fakir miskin menerusi pelbagai acara dianjurkan.

Menurutnya, mereka pernah menjadi skuad pengiring dalam program Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selain memberikan sumbangan kepada golongan fakir miskin menerusi program amal.

“Alhamdulillah, sejak LSN ditubuhkan, kami mempunyai 23 ahli berusia antara 21 hingga 41 tahun di Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang. Semuanya mempunyai latar belakang kerjaya berbeza termasuk pemilik bengkel, pengusaha butik kecantikan, perhotelan, chef dan kakitangan kerajaan.

“Apa yang menarik, selain memiliki ahli cukup sporting dan ‘sempoi’, LSN turut memiliki pusat servis sendiri selain menjual alat ganti dan aksesori di Napoh, Changlun, Kedah dan mempunyai ‘trademark’ tersendiri iaitu ‘Rides Never Ends’ (Menunggang Tanpa Penghujungnya),“ katanya.

Norehan berkata, pengalaman yang ada pada dirinya termasuk menjelajah di Eropah dan Laos sebelum ini ingin dicurahkan kepada ahli LSN selain mendidik mereka menjadi penunggang motosikal cekap dan terlatih.

“Motivasi kami ialah jika lelaki boleh buat, mengapa kami tidak? Menunggang motosikal terbuka kepada semua tanpa wujud sempadan asalkan memiliki minat dan kemampuan,” katanya yang juga pengusaha butik.

Bagi Noor Khamisha Zainon, 32, jurumasak yang memiliki model Yamaha R1, impian indah buat dirinya tercapai apabila memiliki motosikal sendiri sejak September lalu, sekali gus menyemarakkan minatnya terhadap sukan permotoran yang berputik sejak di bangku sekolah lagi.

“Saya merasai kepuasan teramat sangat kerana dapat berkongsi pendapat dan minat sama dengan teman LSN selain dapat berkonvoi melakukan program kebajikan selain bertukar-tukar pendapat.

“Impian saya ingin menyertai konvoi di negara asing dan hasrat itu akan menjadi kenyataan tidak lama lagi. Malah, pembabitan saya turut mendapat sokongan keluarga termasuk suami dan anak yang turut mempunyai minat sama,” katanya.

Kakitangan swasta, Siti Khairul Syiha Jamaluddin, 27, antara ahli LSN paling muda dan memiliki motosikal Kawasaki Z250 berkata, dia bertuah dapat berkenalan de­ngan teman yang mempunyai pengalaman luas dalam menunggang motosikal berkuasa tinggi.

“Selain tunjuk ajar dan nasihat diberikan rakan lain yang lebih berpengalaman, saya bertuah menjadi ahli LSN dan berhasrat untuk menyertai lebih banyak konvoi bermotosikal di seluruh negara selain memasuki Singapura dan Thailand.

“Pengalaman berkonvoi membuktikan disiplin dan kerjasama sepasukan amat penting untuk memastikan misi lancar dan selamat,” katanya.

Kakitangan kerajaan, Nik Noorzila Nik Mohd Nor, 35, berkata minat terhadap motosikal berkuasa tinggi bermula selepas melihat penunggang lain menunggang motosikal dengan penuh yakin dan amat bergaya sekali.

“Untuk menjadi penunggang yang cekap, perlu ada keyakinan, displin dan patuh pada undang-undang jalan raya selain lebih berhati-hati. Malah, saya bertuah kerana disokong suami yang turut memiliki minat sama.

“Kami sentiasa menunggang bersama-sama mengikuti konvoi motosikal bersama rakan termasuk berpeluang menjelajah ke seluruh negara dan Thailand,” katanya.

Mereka yang ingin mengenali lebih LNS dekat melayari laman facebook Ladies Speed Northerns.

PROFIL: Nik Noozila Nik Mohd Nor

Umur: 35 tahun

Pekerjaan: Kakitangan awam

Jentera: Kawasaki Z750

Profil: Noor Khamisha Zainon

Umur: 32 tahun

Pekerjaan: Jurumasak

Jentera: Yamaha R1





















Sumber:  myMetro