Lahirnya Generasi Suka Cari Pasal Di Malaysia

Video hudud stesen radio kontroversi BFM me­mang sengaja mencari pasal. Barangkali se­telah menyedari kesilapan itu dan mendapat re­­­aksi negatif orang ramai, klip video tersebut kemudiannya ditarik balik.

Kemarahan orang ramai membuak-buak se­hingga­kan pengacara video bertajuk "Hudud Isi Periuk Nasi?" itu, Aisyah Tajuddin menerima ugutan bunuh dan rogol di media sosial.

Rasanya tidak mengapa jika video yang dianggap BFM sebagai satira itu hanya mengkritik Kerajaan Pas Kelantan seperti masa untuk hukum hudud dilaksanakan tidak sesuai, tidak mematuhi Perlembagaan dan perlu mendahulukan usaha membantu mangsa banjir.

Itupun aliran propaganda yang dilakukan oleh pengkritik hudud Pas termasuk oleh DAP dan PKR. Orang boleh menerima perbezaan pandangan seperti itu kerana yang dikritik ialah pelaksanaannya bukan hukum tersebut.

Tetapi jangan memperlekeh hukum hudud apatah lagi menyamakannya dengan sebungkus nasi lemak yang berisi batu. Jangan katakan hudud tidak mampu mengisi perut. Ini satu provokasi terhadap Islam.

Tentu sekali provokasi seperti itu akan mengundang kemarahan. Apatah lagi video itu menyentuh urusan agama yang akan ada pihak sanggup bertindak ekstrem demi mempertahankan kesuciannya.

Orang tua-tua dulu pun berpesan jangan dijolok sarang tebuan. Peristiwa serangan ke atas pejabat akhbar mingguan satira Charlie Hebdo di Paris yang mengorbankan 12 orang rasanya baru sahaja berlalu.

Serangan pada 7 Januari lalu itu akibat daripada perbuatan akhbar tersebut yang membuat provokasi dengan menerbitkan karikatur Nabi Muhammad. Dunia mengutuk serangan tersebut dengan catatan perlakuan ganas itu akibat ulah Charlie Hebdo sendiri yang hanya memikirkan hak kebebasan mereka sahaja.

Samalah juga dengan kempen "Saya Mahu Sentuh Anjing" di Central Park, Bandar Utama, Petaling Jaya Oktober tahun lalu yang menimbulkan kemarahan orang ramai. Penganjurnya yang juga kumpulan anak muda turut menerima ancaman bunuh.


Berfikir

Tentu kita juga mengecam ancaman bunuh dan rogol terhadap Aisyah. Tetapi bagaimanakah kita boleh mengawal kemarahan orang ramai jika kita sendiri yang sengaja mahu mencari pasal?

Malangnya sebagaimana juga penganjur program sentuh anjing, video BFM itu cuba dipertahankan oleh kumpulan hak asasi manusia. Mereka menganggapnya se­ba­gai kebebasan bersuara dan satu hak mutlak indivi­du untuk memberikan panda­ngan.

Seperti lazimnya, kumpulan pemuja kebebasan itu hanya melihat sisi mereka sahaja. Mereka tidak berfikir dan me­lihat Malaysia dalam konteks yang tersendiri, lantas me­ng­am­bil secara melulu model ke­bebasan bersuara daripada Barat.

Kini, perbuatan provokasi itu seperti menjadi mainan kum­pulan tertentu yang hu­jung-hujungnya dikaitkan de­ngan isu kebebasan bersuara. Yang hujung-hujungnya juga ada kaitan dengan cita-cita sebuah parti politik itu.

Nampaknya mereka telah berjaya melahirkan anak muda yang boleh sesuka hati mencari pasal atas nama kebebasan bersuara. Perjuangan pihak-pihak ini nampaknya tidak per­nah luntur dan sentiasa mem­buat asakan. Arah tuju mereka semakin jelas.

Januari lalu juga kita dikejutkan dengan kenyataan seorang peguam hak asasi ma­nusia yang juga pengasas bersama Lawyers for Liberty, Eric Paulsen menuduh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempromosi ekstremisme dalam khutbah Jumaat. Kita juga belum lupa video menghina Islam oleh Alvin Tan yang kini melarikan diri ke Amerika Syarikat.

Dalam kes terbaharu ini, BFM dan Aishah harus di­pertanggungjawabkan. Jika mahu kritik hudud, kritiklah dalam konteks yang betul. Tentu sekali mengkritik hukum agama tidak sama seperti mengkritik hal-hal lain. Banyak sensitiviti perlu diambil kira.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga pernah mengkritik dan memberi pandangan berbeza tentang hudud Pas ini. Begitu juga dengan kumpulan ulama termasuk Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin. Jadi tidak ada masalah untuk mengkritik hudud yang bakal dilaksanakan oleh Pas itu.

Dan seperti kes-kes terdahulu, ada kecenderungan untuk menyalahkan pihak lain. Mereka menyalahkan pemerintah bahkan institusi pendidikan yang gagal mendidik masyarakat Malaysia untuk menerima per­bezaan pandangan.

Percayalah jika video seumpama itu disiarkan di Indonesia, reaksinya mungkin akan lebih ekstrem lagi. Masyarakat Malaysia masih mempunyai toleransi yang tinggi tetapi janganlah terus-terusan me­la­ku­kan provokasi. Provokasi yang berlebihan akan membenihkan anarkis dan menyuburkan ekstremisme.

Soalnya bukan berbeza pandangan tetapi video BFM itu satu provokasi. Yang jelas, masyarakat Malaysia meraikan perbezaan pendapat tetapi pada masa sama menolak provokasi.

Malaysia juga bukanlah tempat yang tidak selamat. Malaysia adalah tempat paling selamat. Menjadikan Malaysia tempat selamat adalah tanggungjawab semua pihak termasuk pemuja hak kebebasan bersuara.  -Utusan