Latihan Mencari dan Menyelamat |
LANGKAWI – Sebanyak 580 pegawai dan anggota pelbagai jabatan dan
agensi kerajaan menyertai Latihan Mencari dan Menyelamat (SAREX) di sini
sebagai persediaan menghadapi Pameran Maritim dan Aeroangkasa
Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2015 yang berlangsung 17 hingga 21 Mac ini.
Pengurus Malaysia Airports Berhad (MAB) Langkawi, Jefri Ramli berkata
jabatan dan agensi yang terlibat termasuk Tentera Udara Diraja Malaysia
(TUDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM),
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim
Malaysia (APMM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Latihan dua hari itu yang melibatkan laut dan darat, bertujuan bagi
memastikan jabatan dan agensi yang terlibat menjalankan tugas mengikut
prosedur yang betul,” katanya semasa ditemui pada sesi akhir SAREX di
sini baru-baru ini.
Menurutnya latihan itu diadakan mengikut prosedur sebenar di bawah
Prosedur Kecemasan Lapangan Terbang (AEP) bagi memastikan mereka yang
terlibat dapat melaksanakan tugas sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
“Latihan ini dapat membantu memberi gambaran awal kepada petugas
apabila berlaku kemalangan atau perkara tidak diingini semasa
berlangsungnya LIMA’15 apabila agensi terlibat dapat menghadapi keadaan
itu dengan lebih baik dan cekap,” katanya.
Jefri berkata SAREX tahun ini merupakan yang terbesar pernah diadakan
semenjak penganjuran LIMA pada 1991 dan melibatkan latihan mencari dan
menyelamat di kawasan laut dan darat di sekitar pulau ini. – BERNAMA