KUALA LUMPUR – Harga sebanyak 8,285 produk pelbagai barangan telah
diturunkan sebanyak 70 peratus sejak Kempen Penurunan Harga 2015
peringkat kebangsaan dilancarkan awal bulan ini, persidangan Dewan
Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk
Seri Hasan Malek berkata kempen itu melibatkan 1,036 pengusaha industri
runcit termasuk pasar raya besar serta pasar raya mini di seluruh
negara.
Katanya perkembangan positif itu adalah hasil perbincangan antara
kerajaan dan penggiat industri bagi menjayakan kempen penurunan harga
barang.
“Kerajaan telah buat kempen penurunan harga sejak 2008 sehingga kini.
Penyertaan merupakan komitmen secara sukarela dengan peratusan
penurunan harga barang keperluan antara 10 hingga 70 peratus.
“Saya anggap kempen tahun ini bersejarah kerana sehari sebelum kempen
dilaksanakan, kerajaan telah umum kenaikan harga minyak sebanyak RM0.25
tetapi ia tetap mendapat kerjasama pihak terbabit,” katanya menjawab
soalan Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir (BN-Kulim Bandar Baharu).
Abdul Aziz bertanya sama ada kementerian bercadang mewujudkan
jawatankuasa yang dapat mencari resolusi menurunkan harga barang sejajar
penurunan harga minyak.
Menjelas lanjut, Hasan berkata adalah menjadi harapan kerajaan agar
kempen ini akan membantu meringankan beban rakyat terutama mereka dari
golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Justeru, beliau menyeru pelbagai pihak lain, termasuk pengusaha
restoran agar menyertai kempen itu dengan menawarkan harga berpatutan
kepada pengguna dan tidak mengambil kesempatan mengenakan harga yang
tidak munasabah.
Menjawab soalan tambahan anggota yang sama yang ingin tahu kaedah
yang diambil kerajaan bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga
barang sesuka hati, Hasan berkata kerajaan telah menambah kira-kira
2,000 pegawai penguat kuasa bagi memantau harga barang keperluan.
Katanya pemantauan itu juga dibantu Jawatankuasa Kemajuan dan
Keselamatan Kampung (JKKK) yang telah dilantik di setiap kawasan
parlimen dengan melaporkan terus kepada ibu pejabat kementerian
sekiranya terdapat kenaikan harga barang di kawasan mereka.
Hasan berkata peningkatan statistik aduan daripada pengguna juga
meningkat membuktikan pendidikan yang dijalankan memberi kesan kepada
pengguna selain menjadikan pengguna peka dengan perkembangan harga
barang keperluan.
“Kita didik pengguna supaya prihatin. Maka mereka akan bersama
membantu kementerian memerangi peniaga yang enggan ikut arahan supaya
turun harga barangan,” katanya.
Pada 2013, sebanyak 11,851 aduan mengenai harga barang telah diterima
dan kerajaan telah menyelesaikan 97 peratus manakala aduan pada 2014
meningkat kepada 14,089 (16 peratus).
“Bila ada respons pengguna, ini membuktikan mereka bagi kerjasama
penuh dan mahu memerangi peniaga tidak bertanggungjawab. Dan kita dapat
kawal perkara ini,” katanya. - BERNAMA