Lelaki Dari Kedah, Melaka Terlibat Sembelih Tawanan IS

IS menyembelih beberapa tahanan Syria sebelum ini. - Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR - Dua rakyat Malaysia yang terlibat dengan kegiatan militan IS di Syria dipercayai turut terlibat dengan insiden menyembelih seorang rakyat Syria yang ditawan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay berkata, identiti kedua-duanya di dalam video berkenaan telah dikenal pasti.
 
Ia berikutan satu rakaman video berdurasi 30 saat telah dimuat naik di laman sosial Facebook milik seorang individu pada 22 Februari lalu.
 
“Individu yang merekod video berkenaan berumur 20 tahun berasal dari Gurun, Kedah dan telah ke Syria pada 23 September lepas manakala individu yang berada di sebelah mayat yang disembelih itu berasal dari Durian Tunggal, Melaka dan telah ke Syria pada 26 Januari lepas”, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
 
Rakaman video itu merekodkan seorang lelaki warga Syria disembelih seorang lelaki Arab kerana didakwa menjadi pengintip kerajaan Syria.
 
"Video ini juga merupakan rakaman video pertama yang kita peroleh dengan menunjukkan kehadiran rakyat Malaysia di lokasi kejadian...Facebook milik individu berkenaan dikesan masih aktif," kata Ayub Khan. - Bernama