LANGKAWI - Para peniaga di Langkawi diminta tidak menaikkan harga
barang jualan mereka semasa Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa
Langkawi (Lima'15) dari 17 hingga 21 Mac ini.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, para
peniaga perlu turut mengambil kira kuasa beli penduduk tempatan.
"Orang asing mungkin sanggup membayar kadar (harga barangan yang
dikenakan) itu kerana mereka tidak tahu kos di sini, tapi bagi orang
tempatan, ia sangat merumitkan. Kalau pun hendak mengaut keuntungan,
berpada-padalah. Jangan terlampau sangat," katanya kepada pemberita semalam.
Beliau merasmikan Pusat Khidmat Rakyat Adun Kuah.
Beliau diminta mengulas fenomena kenaikan harga barang oleh peniaga
setiap kali Lima diadakan, misalnya menaikkan harga roti canai kepada
RM5 daripada sekitar RM1 sekeping.
Mukhriz memberi contoh langkah seorang pengusaha kedai makan di Kubang
Pasu yang masih mampu meraih keuntungan biarpun menjual makanan pada
harga RM2.
Kuantiti jualan akan meningkat apabila berlaku peningkatan mendadak pelancong semasa Lima, katanya. - Bernama