LTdL 2015: Prestasi Skuad Negara Wajar Dipuji

PENCAPAIAN skuad berbasikal negara terutama pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) pada kejohanan berbasikal berprestij Le Tour de Langkawi (LtdL) 2015 yang melabuhkan tirai semalam wajar diberikan pujian.
  
Setidak-tidaknya dua pelumba TSG iaitu Anuar Manan dan Mohd Adiq Husainie Othman mampu meraih kedudukan podium.
  
Anuar yang pernah menjuarai peringkat kelima pada edisi 2010, meraih kedudukan ketiga pada peringkat pertama kali ini sejauh 99.2km di Langkawi manakala Mohd Adiq Husainie meraih keputusan sama pada peringkat kelima sejauh 200km dari Kuala Terengganu ke Kuantan.
  
Pencapaian mereka turut mendapat pujian Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang menyifatkan pelumba berbasikal negara mampu bersaing dengan pelumba luar.
  
"Pencapaian pasukan tempatan, saya lihat tidaklah teruk sangat. Saya lihat ada beberapa penamat podium dan ini saya rasa prestasi terbaik dalam beberapa tahun lepas," katanya.
  
Dari segi penganjuran, Human Voyage Sdn Bhd yang diberi tanggungjawab untuk mengelolakan kejohanan buat julung kali dapat melaksanakan tugas mereka dengan jayanya walaupun kekangan masa yang terhad selain bertembung dengan beberapa kejohanan berbasikal antarabangsa lain.
  
Perkara berkenaan diakui sendiri Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Malik Mydin yang menjelaskan mereka sendiri terpaksa berdepan beberapa saingan kejohanan lain terutama di benua Eropah seperti Tour Paris-Nice yang sedang berlangsung di Perancis.
 
LTdL 2015, jelasnya turut berjaya menepati sasaran terutama dari segi liputan media antarabangsa dalam menarik lebih ramai pelumba terkemuka dunia untuk datang beraksi.  
  
"Kita akan berbincang semula (dalam memperbanyakkan lagi) penyertaan pasukan profesional. Berkenaan dengan tarikh (bagi edisi 2016), kita akan lihat semula kerana kita mempunyai masa yang panjang selain beberapa aspek lain yang perlu ditambah baik.
  
"Kita tidak boleh kata kita (penganjur) yang terbaik. Kita tidak berhenti (di sini sahaja) dan akan terus berusaha untuk memperbaiki segala kelemahan," kata Malik.
  
Lebih menarik, edisi ke-20 ini yang membabitkan lapan peringkat keseluruhan kejohanan sejauh 1,118 km meliputi tujuh negeri dilaporkan hanya menelan perbelanjaan keseluruhan RM10 juta, iaitu penjimatan RM9 juta berbanding tahun lepas yang mencecah RM19 juta.
  
Kejohanan kali ini turut menyaksikan kejutan apabila pelumba Algeria, Youcef Reguigui dari pasukan pro benua, MTN-Qhubeka meraih jersi kuning selaku pemenang keseluruhan.
  
Pelumba berusia 25 tahun ini yang membuat kemunculan sulung mencatat masa keseluruhan 28 jam 12 minit dan 04 saat, sekali gus mengenepikan beberapa pelumba terkemuka daripada pasukan profesional seperti Orica GreenEdge dari Australia dan Astana Pro Team dari Kazakhstan.
  
Keputusan itu menyaksikan Reguigui menjadi pelumba ketiga dari benua Afrika memenangi jersi tersebut selepas mendiang Ryan Cox dari Barloworld dan David George dari pasukan Afrika Selatan memenanginya pada 2005 dan 2006.
  
Pelumba pasukan Astana Pro Team, Andrea Guardini pula mencatat sejarah baharu dalam LTdL apabila meraih kemenangan 18 peringkat perlumbaan dalam lima penyertaan sejak 2011 termasuk empat peringkat pada edisi kali ini.
  
Pelumba dari Itali ini sebelum ini menang lima peringkat pada edisi 2011; enam peringkat (2012); satu peringkat (2013) dan dua peringkat pada tahun lepas. - Bernama