"Macam Tu Ke Nak Eratkan Antara Parti?" - AJK PAS Kawasan Sindir PasMa

ALOR SETAR - Seorang Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Kawasan di Kedah menyindir pedas tujuan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) ditubuhkan yang kononnya mahu mengeratkan hubungan di antara PAS, DAP dan PKR.

Katanya, meskipun NGO itu mewar-warkan ke seluruh negara untuk mengeratkan parti-parti politik pembangkang yang membentuk Pakatan Rakyat, gerakan yang dilakukan oleh para pemimpinnya langsung tidak mencermin tujuan tersebut.

"Kalau betul depa nak eratkan hubungan (antara parti pembangkang), kenapa depa hentam dan buruk-burukkan Presiden PAS?

"Dah la teruk Tuan Guru (Abdul Hadi) dihentam DAP, depa tambah pulak dengan memperlekeh kepimpinan Presiden PAS di depan penyokong PAS sendiri.

"Macam tu ke nak eratkan antara parti?" katanya mengulas mengenai dakwaan tujuan penubuhan PasMa.

AJK PAS Kawasan yang enggan disiarkan namanya itu juga mendakwa bahawa gerakan PasMa jelas menunjukkan bahawa mereka mahu menjatuhkan kepimpinan ulama di dalam PAS, khususnya Abdul Hadi sebagai Presiden.

"Kalau betul depa tak mau jatuhkan Tuan Guru (Abdul Hadi), kenapa tak keluarkan kenyataan menyokong Presiden secara terbuka pada media?" katanya mempertikai sokongan PasMa pada kepimpinan ulama.

Justeru itu AJK PAS Kawasan tersebut menyeru kepada seluruh ahli dan para penyokong PAS di Kedah supaya sama-sama menolak untuk terlibat di dalam NGO berkenaan yang disifatkan sebagai "duri dalam daging" bagi parti itu.

Katanya, PAS perlu kembali ke perjuangan asal parti itu yang bertujuan untuk mengimarahkan Islam di Malaysia dan bukannya mengejar kuasa, jawatan atau kepentingan politik di negara ini.

"PAS perlu kembali ke perjuangan asal. Tamrin, tarbiah dan qiyamullail perlu dihidupkan semula.. perjuangan PAS yang asal adalah memperjuang kemenangan Islam dan jika menang politik, anggaplah ia sebagai satu bonus yang bersifat duniawi", tegasnya ketika ditemubual Utaranews.com sebentar tadi. -Utaranews.com