KUALA TERENGGANU – Madrasah moden yang pertama di Terengganu akan
mula beroperasi pada 1 April ini, kata Pengerusi Jawatankuasa
Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-tugas Khas Terengganu, Ghazali
Taib.
Beliau berkata, ketika ini Majlis Agama Islam dan Adat Melayu
Terengganu (Maidam) sedang mengadakan proses temu duga untuk pengambilan
pelajar ke madrasah moden itu yang terletak di Batu Rakit dekat Kuala
Nerus.
“Sebanyak 96 pelajar ditemu duga bagi kemasukan kali pertama ini yang
bertujuan mengetahui sejauh mana mereka serius mahu mengikuti
pembelajaran di madrasah moden tersebut.
“Sebagai projek perintis, kita akan membuka pengambilan untuk 120
pelajar dan jika segalanya berjalan lancar kelak, ia akan diperluaskan
ke daerah yang lain pula,” katanya kepada Bernama hari ini.
Madrasah moden itu adalah cetusan idea Menteri Besar Datuk Ahmad
Razif Abdul Rahman yang mahu Terengganu meneruskan tradisi sebagai pusat
perkembangan ilmu, khususnya pengajian Islam dengan memperbanyakkan
kewujudan madrasah moden.
Ghazali berkata, pada asasnya, mata pelajaran yang akan diajar di
madrasah moden itu adalah sama seperti sekolah biasa, cuma diberi
penekanan terhadap pengajian Islam dan Al-Quran.
“Selain bahasa Arab, madrasah moden itu turut memberi penekanan
terhadap bahasa Inggeris bagi membolehkan pelajar menguasai bahasa itu
dan memudahkan mereka untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.
“Di sini, kecemerlangan akademik bukanlah syarat utama untuk
kemasukan ke madrasah moden kerana yang penting, pelajar itu sendiri
berminat mengikuti pembelajaran dalam bidang agama,” katanya.
Madrasah moden itu juga akan dilengkapi dengan teknologi canggih
pembelajaran i-Class dengan menggunakan i-Pad agar pelajarnya turut
menguasai kemahiran komputer dan teknologi komunikasi maklumat, sama
seperti sekolah yang lain, katanya. – BERNAMA