SINGAPURA – Malaysia adalah destinasi pilihan global pasaran
pelancongan Muslim yang semakin berkembang biarpun dua tragedi udara
dihadapi syarikat penerbangan negara itu tahun lalu, menurut satu kaji
selidik hari ini.
Turki, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Qatar dan Indonesia
menyusul Malaysia dalam kedudukan destinasi percutian pilihan pengembara
Muslim, menurut laporan pakar pelancongan Islam, Crescentrating dan
gergasi pembayaran, MasterCard.
Laporan itu menilai negara berdasarkan keprihatinan terhadap
keperluan pelancong Muslim termasuk kewujudan dan akses mudah kepada
restoran halal, surau di lapangan terbang, pusat beli belah dan hotel.
Markah semua perkara itu dijumlahkan menjadi Global Muslim Travel
Index yang mana Malaysia sebagai negara majoriti Muslim meraih kedudukan
tertinggi dengan 83.8 markah, diikuti Turki (73.8), UAE (72.1), Arab
Saudi (71.3), Qatar (68.2) dan Indonesia (67.5).
“Kepada pelancong Muslim, Malaysia kekal pilihan utama kerana ia
adalah destinasi percutian yang hebat untuk keluarga dan pada masa sama
menawarkan suasana amat mesra Muslim,” kata Ketua Eksekutif
Crescentrating, Fazal Bahardeen.
“Ini termasuk setiap perkara dari tarikan hebat, makanan halal,
penginapan, pusat beli belah kepada surau. malaysia memiliki prasarana
terbaik untuk pengembara Muslim,” katanya.
Fazal berkata, 5.9 juta pelancong Muslim melawat Malaysia tahun lalu, meningkat daripada 5.7 juta pada 2013.
Laporan yang pertama kali disediakan Crescentrating dan MasterCard
itu, membabitkan 81 destinasi negara bukan islam dan 29 negara Islam.
Ia dikeluarkan beberapa hari sebelum ulang tahun kehilangan pesawat
Malaysia Airlines, MH370 pada 8 Mac tahun lalu ketika dalam perjalanan
dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 239 penumpang dan anak kapal. – AFP