ALOR SETAR – Pemuda UMNO Kedah mahu tindakan tegas dikenakan terhadap
pemilik portal Malaysian Insider berhubung laporannya yang mendakwa
kononnya Majlis Raja-Raja berkenan menolak pelaksanaan hukum hudud di
Kelantan.
Ketuanya, Datuk Saiful Hazizy Zainol Abidin berkata laporan oleh
portal tersebut yang mengaitkan Majlis Raja-Raja dengan hukum Hudud
menggambarkan Malaysian Insider kini terdesak.
“Institusi Diraja adalah simbol kebanggaan negara dan tidak perlu
dicemari dengan tangan-tangan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya
kepada pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar hari ini.
Terdahulu, pembantu khas beliau, Shamsul Baharin Shaarom membuat
laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar meminta siasatan polis
dilakukan terhadap Malaysian Insider berhubung laporannya itu.
Khamis lepas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial
Syed Ahmad berkata pihak majlis telah membuat laporan di Balai Polis
Jalan Travers, Kuala Lumpur bagi menegaskan apa yang disiarkan dan
diterbitkan oleh portal itu adalah tidak benar dan bukan dikeluarkan
oleh pejabat majlis berkenaan.
Beliau berkata Majlis Raja-Raja tidak membincangkan perkara yang
dihebohkan itu dalam mesyuaratnya dan pejabat itu juga tidak
mengeluarkan siaran akhbar bertarikh 25 Mac yang menyentuh hudud. –
BERNAMA