KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines (MAS) berdepan situasi sukar dan
rancangannya untuk mengurangkan 6,000 kakitangan itu adalah sesuatu yang
tidak dapat dielak dan sebaliknya perlu diteruskan, kata bekas Menteri
Pengangkutan Tan Sri Ong Tee Keat hari ini.
Khazanah Nasional Bhd, yang memiliki MAS, telah melakukan penilaian
menyeluruh secara teliti mengikut Pelan Pemulihan bernilai RM6 bilion
bagi syarikat penerbangan negara itu dan keperluan mengecilkan tenaga
kerjanya adalah sangat kritikal bagi pelan tersebut, katanya.
Ong berkata demikian bagi mengulas bantahan yang disuarakan dalam
kalangan kesatuan sekerja MAS yang telah merayu kepada Khazanah dan
kerajaan supaya mengabaikan tindakan pemberhentian pekerja besar-besaran
yang melibatkan satu pertiga daripada tenaga kerjanya.
“Kita tidak mampu untuk berada dalam zon selesa selama-lamanya. Jika
kita katakan yang kita telah melakukan ini sejak beberapa tahun, jadi
kenapa kita tidak boleh teruskannya. Jadi apakah pelan pemulihan atau
perubahan yang kita bincangkan?,” katanya.
“Adakah kita mahu terjerumus dalam perangkap lama yang sama, iaitu
berbentuk bantuan kewangan, kita mahu dijamin keluar oleh kerajaan dan
adakah itu sahaja.
Justeru, sekarang kita perlu membuat pilihan, apakah ia sekadar
dijamin keluar semata-mata atau pemulihan yang tulen dan sangat bermakna
bagi kelangsungan syarikat penerbangan negara.
“Saya rasa ini adalah dua perkara utama yang kita perlu putuskan
secara muktamad dan tegas demi kepentingan negara,” katanya kepada Bernama.
Ong menekankan sejak awal lagi, semua maklum isu pemberhentian kerja
sementara tidak dapat dielak dan pertemuan yang mencukupi telah dibuat
dengan pelbagai kesatuan pekerja dan langkah pemberhentian kerja bukan
menjadi satu isu sekarang.
“Langkah berikutnya selepas ini kemungkinan pemilihan pekerja yang
sesuai, dan saya yakin keperluan mendapatkan bilangan pekerja yang
sewajarnya bagi menepati bilangan tenaga kerja yang optimum
dibincangkan. Ini adalah perkara yang tidak dapat dielak syarikat
penerbangan itu.
“Ini bermakna bukan Khazanah mahu sedaya upaya untuk pemberhentian
kerja sementara atau pembuangan mana-mana kakitangan, tetapi demi
kelangsungan MAS, sama ada kita mahu syarikat baharu iaitu MAS yang
baharu terus wujud, terus beroperasi atau sebaliknya,” tambahnya.
Antara tujuan pelan penstrukturan semula bernilai RM6 bilion itu
adalah supaya syarikat penerbangan tersebut meraih keuntungan dalam
tempoh tiga tahun, Khazanah telah menjadikan MAS sebagai syarikat
persendirian tahun lepas.
Penstrukturan semula MAS turut melibatkan langkah pengecilan tenaga kerjanya.
Langkah penilaian pekerja yang menyeluruh telah diselesaikan pada
awal Februari, melibatkan kira-kira 20,000 kakitangan dengan mengambil
kira rekod prestasi, pengalaman, kelayakan, sifat tingkah laku, rekod
disiplin, kecekapan, serta aspirasi untuk menyertai MAS NewCo.
Penilaian tersebut juga menyaksikan 500 eksekutif kanan MAS menjalani perbincangan selama tiga jam dengan perunding bebas.
Pusat Pembangunan Korporat yang dijangka memulakan operasi pada 1
April, 2015 akan menyediakan landasan dan peluang bagi penempatan luar
serta latihan semula kakitangan MAS yang terlibat.
Pusat tersebut akan menyediakan pekerja yang diberhentikan dengan
akses kepada perkhidmatan yang pelbagai, termasuk pemprofilan tenaga
kerja, kaunseling kerjaya, latihan asas dan terperinci, kemahiran
mencari kerja, keusahawanan, penempatan dan rancangan persaraan.
Langkah terbaru dalam penstrukturan semula syarikat itu adalah
pelantikan Christoph Mueller sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai
Eksekutif Kumpulan yang diawalkan daripada Julai kepada 1 Mei.
Hasrat itu membenarkan Mueller mengetuai usaha penstrukturan semula
syarikat dan membolehkan masa yang tepat untuk peralihan kepada MAS
NewCo, Malaysia Airlines Bhd.
Mengulas mengenai kenyataan kesatuan bahawa aset teras kepada
syarikat penerbangan itu adalah “kemahiran, pengalaman dan kesanggupan
kakitangan” dan tenaga kerja sewajarnya tidak dianggap sebagai komoditi,
Ong mengulangi adalah sia-sia untuk bercakap mengenai sentimen pada
masa ini kerana kegagalan bukan lagi satu pilihan dan pelan pemulihan
yang sedang dilaksanakan sewajarnya menjadi yang terakhir kepada MAS.
“Ini adalah soal hidup atau mati untuk syarikat itu. Anda mungkin
memiliki kepakaran, bakat dan kesemuanya namun, jika tenaga kerja
dianggap terlalu berlebihan, anda perlu kurangkannya demi kelangsungan
dan ini adalah keputusan sukar yang perlu dibuat.
“Dalam hal ini, kita memberi jaminan 6,000 pekerja itu akan diberi
kemahiran, dilatih dan ditugaskan semula. Ini bermakna mereka akan
mendapat pekerjaan, kecuali mereka memilih untuk tidak menyesuaikan diri
dengan perubahan itu.
“Selain itu, kerajaan sewajarnya sedar mengenai beberapa faktor utama atas kegagalan kita menguruskan MAS.
“Kita bercakap dari masa ke semasa, perbelanjaan yang membazir, atau
kontrak yang akan dianggap tidak kondusif kepada MAS, semua ini perlu
dikaji semula. Semua ini telah diperkatakan.
“Sudah tentu tidak adil untuk menyatakan hanya 6,000 orang dijadikan alasan bagi kegagalan MAS,” katanya. – BERNAMA
