MBAS Perkenal Aplikasi Tambah Waktu "Parking" Menerusi Telefon Pintar


ALOR SETAR - Orang ramai dipelawa memuat naik aplikasi MBAS (Majlis Bandaraya Alor Setar) Flexi Parking yang pertama kali diperkenalkan di Malaysia bermula April ini secara percuma.

Ketua Pegawai Eksekutif Kayangan Parking, Ahmad Hazery Che Din berkata, melalui aplikasi berkenaan, pengguna boleh menambah waktu penyewaan parkir dengan menggunakan telefon pintar.

Menurutnya, pengguna telefon bimbit Android dan Apple boleh mencari aplikasi di Store dengan memasukkan kata kunci ‘MBAS Flexi Parking’ dan mengikuti arahan  seterusnya.

“Negara luar seperti Eropah dan China sudah mempraktikkan penggunaan aplikasi ini bagi memudahkan masyarakat membuat pembayaran parkir guna telefon bimbit tanpa perlu risau waktu penyewaan parkir tamat.

“Pengguna boleh mendapatkan kupon tambah nilai Flexi Parking melalui kira-kira 200 ejen yang dilantik seluruh kawasan bandaraya Alor Setar atau perbankan online,” katanya.

Ahmad Hazery berkata, melalui tiga sentuhan pada aplikasi telefon pintar, pembayaran parkir boleh dibuat.

“Peringatan apabila masa hampir tiba ini mengurangkan risiko pemilik kenderaan disaman penguatkuasa, resit digital disimpan online dan boleh dicetak apabila perlu, kemudahan menyimpan beberapa nombor kenderaan serta log masuk bagi menggelakkan pembayaran oleh kanak-kanak,” katanya.

Menurutnya, aplikasi itu masih dalam fasa percubaan dan dijangka dapat digunakan bermula 1 April selaras dengan langkah penswastaan operasi kutipan caj tempat letak kereta terbuka pada tarikh berkenaan sebagai alternatif pembayaran parkir. -Sinar Harian